Sunday, September 2, 2012

Negara Perlu Guru Berkualiti Tinggi


1.0  PENGENALAN

Pendidikan guru tidak seharusnya tamat sebaik sahaja bakal guru menyempurnakan latihan di Institut Perguruan, universiti atau institusi pendidikan yang berkaitan. Guru terlatih yang berjaya dengan cemerlang menamatkan latihan keguruan tidak seharusnya menganggap proses pembelajaran dan penyediaan guru telah sempurna. Pendidikan praperkhidmatan keguruan adalah satu proses awal penyediaan diri dengan ilmu dan kemahiran yang menjadi prasyarat profesion keguruan.

Pendidikan keguruan adalah satu titik permulaan dalam kerjaya seorang guru. Guru permulaan yang baru melangkahkan kaki ke perkhidmatan keguruan sebenarnya memasuki satu alam pengembaraan profesional yang jauh serta penuh dengan pelbagai ranjau dan liku di samping menikmati keseronokan profesionalisme yang dijanjikan oleh profesion tersebut.

Kejayaan serta kelestarian seseorang guru dalam kerjayanya antara lain bergantung kepada kesediaan guru berkenaan untuk terus memajukan diri dan profesionalisme melali pelbagai aktiviti dan program pendidikan sama ada secara formal, informal mahupun nonformal. Guru akan berhadapan dengan pelbagai bentuk perubahan sama ada di dalam atau di luar profesionnya. Antara tuntuntan dalaman ialah kesediaan guru untuk mencuba pelbagai teknik, kaedah serta pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang efektif di samping menghadapi perubahan dari segi istilah, kandungan kurikulum serta penggunaan teknologi baharu.

Perubahan ini memerlukan guru sentiasa untuk menambah ilmu pengetahuan berkaitan dengan profesion dan subjek yang diajar. Perkembangan semasa  dalam sistem pendidikan negara menyediakan pelbagai peluang kepada guru untuk meningkatkan profesionalisme perkhidmatan mereka.


2.0  Ulasan Negara Perlu Guru Berkualiti Tinggi

Artikel Negara Perlu Guru Berkualiti Tinggi telah diambil daripada petikan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Mac 2011. Secara keseluruhannya artikel ini memperkatakan tentang keperluan guru menjadi seorang yang berkualiti dari sudut teknik pengajaran dan pembelajaran serta pengetahuan yang luas dalam bidang pendidikan. Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran berkata bahawa, “Guru mesti melengkapkan diri dari sudut keilmuan dan sahsiah, berintegriti, beriltizam dan mempunyai kesedaran untuk membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek”. Hal ini berkait dengan etika keguruan iaitu  penampilan atau personaliti guru.

Takrifan personaliti membawa maksud satu konsep yang mengambarkan keperibadian seseorang manusia. Manakala mengikut Dictionary of Psychology (1973), personaliti ditakrifkan sebagai hasil paduan sifat fizikal, mental, emosi, nilai dan perlakuan seseorang manusia dalam perhubungan sosialnya, sebagaimana yang dilihat oleh manusia lain. Personaliti guru memainkan peranan kerana ianya mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran. Personaliti guru sering menjadi perhatian pelajar-pelajar. Sifat kreatif dan inovatif yang ada pada guru itu, akan mewujudkan pengajaran guru yang lebih menyeronokkan, diminati dan meninggalkan kesan kepada pelajar dan secara tidak langsung mempengaruhi pelajar untuk terus belajar. Personaliti guru sering menjadi penilaian yang dibuat bersama oleh anggota masyarakat khasnya pelajar dan ibubapa. Pada ketika dahulu, personaliti guru turut menjadi ikutan dan idola pada masyarakat.

Status guru dipandang  tinggi dan mulia oleh masyarakat ketika itu, namun kini segalanya telah berubah kerana sesetengah guru tidak menjaga personalitinya bila berada dalam lingkungan masyarakat.



 Sifat-sifat yang sepatutnya wujud pada diri seorang guru semakin berkurangan kerana guru tidak menjiwai apa tugas sebenar untuk menjadi guru dan hanya melihat perguruan dan tugasnya bukan semata-mata sebagai satu “pekerjaan” tetapi sebagai satu “profesion”. Dalam konteks perguruan,sifat-sifat personaliti yang positif, iaitu yang baik, sesuai, berkesan dan mulia yang perlu ada pada seseorang guru atau ahli professional keguruan adalah merujuk kepada personaliti seseorang guru. Seseorang guru yang sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti pengajarannya dan sentiasa mementingkan kejayaan dan kebajikan pelajar-pelajarnya dikatakan mempunyai “profesionaliti” yang tinggi.

Personaliti guru yang dianggap positif adalah satu penilaian yang dibuat bersama oleh anggota masyarakat khasnya pelajar dan profesion perguruan terhadap para guru bukan sahaja pakar yang mengajar tetapi juga sebagai pakar yang mendidik kanak-kanak dalam sesuatu institusi pendidikan seperti sekolah. Oleh itu, personaliti guru dapat dilihat daripada tingkah lakunya, satu cara bagi melihat personalitinya ialah dengan menentukan apa yang dicerminkan oleh tingkah lakunya.

Berbalik kepada artikel yang dipetik di awal tadi, Tan Sri Muhyidin  juga menegaskan bahawa konsep pembelajaran sepanjang hayat bagi seseorang guru amat penting untuk mereka mencari, mengkaji dan menyelidik ilmu dan kemahiran pengajaran bagi menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak-anak didik. Faham pembelajaran sepanjang hayat adalah satu ilham yang terbit daripada satu laporan yang disediakan oleh Paul Lengrand yang juga merupakan pegawai yang bertanggungjawab ke atas Biro Pendidikan Dewasa (Adult Education Bureau), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1965.


Di dalam laporan tersebut beliau menyatakan bahawa pendidikan tidak sepatutnya terhenti pada usia kanak-kanak atau remaja. Ia perlu mengiringi seseorang itu di sepanjang hayatnya.  Manakala dalam satu laporan lain yang juga dikeluarkan oleh UNESCO yang bertajuk "Learning To Be" menyatakan bahawa capaian kepada pendidikan tidak sepatutnya dihadkan kepada golongan elit atau untuk mereka yang berada dalam lingkungan umur yang tertentu sahaja. Ia sebaliknya perlu disebatikan ke dalam keseluruhan anggota masyarakat  dan kehidupan setiap ahlinya.

Apa yang lebih penting ialah faham pembelajaran sepanjang hayat membolehkan semua orang mendapatkan pengetahuan yang sepatutnya untuk membolehkannya mengambil bahagian secara cergas sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab. Menurut Knassel, Meed and Rossetti (2000), kepentingan pembelajaran sepanjang hayat ini dapat dikenalpasti menerusi tiga (3) sebab utama yang dikenali juga sebagai "The Three Es" iaitu employment (pekerjaan), empowerment (memberi kuasa) dan enjoyment (keseronokan).

Di samping itu, setiap guru harus cekap merangka pelan pembelajaran peribadi mereka. Antara yang terbaik boleh dilakukan oleh guru untuk mencapai pembelajaran peribadi adalah dengan berusaha untuk meningkatkan kelulusan akademik dan sentiasa mengambil peluang untuk mengikuti pembelajaran atas rasa keperluan dan mencapai kepuasan peribadi.  Yazid Abdul Manap (2001) menggariskan beberapa strategi yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha mereka memartabatkan profesion di samping menjadikan profesion ini sebagai pilihan utama. Setiap guru boleh meningkatkan keupayaan mereka dengan melakukan pembelajaran kendiri melalui peluang yang disedakan oleh KPM untuk meningkatkan tahap profesionalisme seperti Program Diploma Perguruan Khas, Program Pensiswazahan Guru, Program Berkembar IAB Dengan Pihak Universiti dan sebagainya.  

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, Penyelidikan Tindakan boleh dijadikan disiplin yang penting untuk menambah baik pengajaran di bilik darjah dan ia seharusnya dijadikan wadah untuk guru memperbaiki strategi, pendekatan, kaedah serta teknik pengajaran dan pembelajaran. Apabila disebut penyelidikan, kebanyakan guru atau pensyarah berpendapat ia adalah sesuatu yang agak tinggi dan sukar dilaksanakan. Bagi mereka penyelidikan adalah aktiviti yang dibuat oleh pensyarah-pensyarah universiti dan penyelidik-penyelidik sepenuh masa.  Berbeza dengan situasi di sekolah, sebagai guru terlatih dan professional kita boleh menjalankan penyelidikan mengikut konteks di sekolah. Penyelidikan di sekolah boleh dilakukan untuk mengatasi masalah mengikut situasi semasa. Penyelidikan tindakan bertujuan untuk menyelesaikan masalah tertentu dan bukan untuk membuat generalisasi. Setiap guru perlu membudayakan amalan penyelidikan di sekolah supaya segala masalah yang berbangkit dapat di atasi secara professional.

Tan Sri Muhyidin juga menyatakan bahawa, guru yang lulus pengajian dari IPG seharusnya tidak berasakan mereka sudah mempunyai ilmu yang mencukupi kerana sebagai ia perlu digali manakala pengalaman perlu diterokai.'Ia bagi memastikan setiap guru sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran diri dengan teknik terkini dalam menyampaikan ilmu," katanya. Guru mempunyai kurang kesedaran tentang pentingnya membuat reflektif tentang pengajaran pembelajaran mereka. Sebarang masalah yang timbul dalam pengajaran pembelajaran tidak cuba diselesaikan dan jika ada cubaan untuk menyelesaikan sebarang masalah, tidak dijalankan dengan teratur dan kemas. Tidak terdapat sebarang pendokumentasian yang dibuat untuk membolehkan pihak pendidik lain berkongsi pendapat dan pengalaman yang diperoleh.




Satu uasaha mempromosi dan menggalakkan persepsi positif dalam kalangan pengamal pendidikan di bilik darjah terhadap penyelidikan perlu dilakukan. Untuk menjayakan proses penyelidikan, beberapa aspek berikut perlu diberi perhatian iaitu satu kefahaman yang jelas dan betul tentang penyelidikan perlu diberikan kepada semua pihak yang terlibat dengan pendidikan terutamanya guru. Mereka perlu mendapat satu kefahaman yang jelas tentan maksud dan tafsiran penyelidikan. Selain itu, mereka juga tahu apakah kegunaan dan apa yang diharapkan daripada penyelidikan tersebut.

Aspek yang kedua pula ialah memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang releven dengan guru seperti situasi bilik darjah termasuklah masalah pengurusan bilik darjah, pengajaran dan pembelajaran dan pengurusan sekolah termasuk masalah disiplin dan kebajikan murid. Proses penyediaan penyelidikan tidak akan sempurna tanpa adanya bimbingan daripada individu yang lebih berpengalaman. Guru-guru digalakkan menghadiri kursus penyediaan kajian. Amalan ini perlu diteruskan setiap tahun supaya budaya penyelidikan ini akan menjadi medan perkongsian ilmu dalam kalangan guru di sekolah.  









3.0  CADANGAN KE ARAH MENJADI GURU BERKUALITI

Ciri dalam Kamus Dewan 2007 didefinisikan sebagai sifat (unsure,tanda) yang khusus pada sesuatu atau membezakannya daripada yang lain. John Macdovalo (1993) menyatakan kualiti sebagai memenuhi keperluan atau kehendak pelanggan. Jemaah Nazir Sekolah pula mendefinisikan kualiti sebagai ciri-ciri atau sifat kecemerlangan yang dikehendaki oleh sesuatu barang, alat perkakas, dan perkhidmatan (ISO8402). Maka, dapatlah dikatakan untuk menghasilkan pendidikan bertaraf dunia, ciri-ciri guru yang berkualiti ialah guru yang memenuhi keperluan pelajar dalam pelbagai aspek sama ada dari segi p&p, sahsiah, kemahiran, kepakaran dan pengurusan.

Oleh itu antara ciri-ciri yang perlu ada pada guru berkualiti bagi menghasilkan pendidikan bertaraf dunia, guru perlulah bertindak sebagai penyebar ilmu Menurut Ragbir Kaur (2007), fungsi guru ialah mendidik murid dalam pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran daripada pelbagai disiplin dalam kurikulum sekolah. Para guru haruslah memiliki sifat-sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga dan mempunyai sikap membantu dan menyampaikan seberapa banyak ilmu kepada murid-muridnya. Penekanan di sini ialah mengenai sikap dan penampilan guru itu sendiri terhadap konsep ilmu. Guru harus mendalami ilmu sebanyak mungkin supaya dapat menyebarkan ilmu kepada para pelajar bagi melahirkan insan dan warganegara yang berilmu.

Dalam era transformasi pendidikan guru hendaklah menghasilkan pelajar yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis serta memperkembangkan potensi pelajar dalam semua aspek JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial) bagi mencapai pendidikan bertaraf antarabangsa.



            Ciri yang kedua ialah guru bertindak sebagai Pembentukan Nilai / Role Model Nilai merupakan kriteria penting bagi mengukur mutu sesuatu benda. Menurut Ragbir Kour (2007) guru harus membentuk murid-murid untuk memiliki akhlak yang mulia dan mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi. Nilai-nilai yang perlu diterapkan ialah moral, agama, terminal dan instrumental. Jadi, guru seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi, profesional, dan sosial yang baik dan murni supaya dapat menjalankan tugas sebagai pendidik dengan sempurna. Sebagai ibu bapa kedua kepada murid-murid, segala nilai dan tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada para pelajar. Nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah secara tidak langsung akan diterapkan dalam jiwa pelajar. Menurut Ee Ah Meng (2003) guru yang beriltizam akan menjadi role model kepada para pelajarnya. Secara tidak langsung, guru berkenaan akan dapat memupuk beberapa ciri peribadi yang positif melalui amalan-amalannya di dalam bilik darjah.

Ciri yang ketiga ialah guru bertindak sebagai pengamal budaya ilmu. Menurut Mok Soon Sang 2007, Profesor Syed Muhammad al-Altas menyatakan ilmu merupakan sesuatu yang bermakna dan membawa penyuburan serta semangat kepada jiwa manusia. Hal ini menunjukkan ilmu merangkumi semua aspek kehidupan luaran dan dalam jiwa manusia. Guru sebagai pengamal ilmu perlu mempraktikkan budaya ilmu seperti membaca, berfikir, memerhati, berkarya, bersumbangsaran, dan bertukar fikiran serta mencari pengalaman baru (Ragbir Kour (2007)). Dalam p&p, guru akan memindahkan ilmu yang baik, meninggikan adab murid, serta memberi petunjuk ke arah kebenaran sebagai seorang pengamal ilmu.





Sebagai seorang guru, budaya ilmu harus menjadi kriteria utama dan harus dipupuk dalam diri supaya menjadi teladan bagi para pelajar mencontohinya. Budaya ilmu di kalangan guru dan pelajar adalah sejajar dengan salah satu matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan generasi yang mencintai ilmu pengetahuan dan seterusnya menjadi teras dan tunjang dalam amalan pendidikan seumur hidup.

Ciri yang keempat ialah mengamalkan kemahiran professional. Guru merupakan tenaga ikhtisas di dalam bidang perguruan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik murid-murid di seklah. Oleh itu, guru yang mempunyai kemahiran profesional serta kecerdasan emosi yang tinggi memainkan peranan besar dalam menghasilkan generasi yang berpendidikan, berkemahiran, berbudaya ilmu dan berakhlak selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Peranan ini penting bagi membawa pendidikan negara Malaysia ke arah pendidikan yang bertaraf dunia (Dr. Ragbir Kaur, 2007).

Antara kemahiran yang perlu ditekankan ialah kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif. Para pelajar mestilah dididik menggunakan daya fikir tinggi dan minda untuk melahirkan pelajar-pelajar untuk belajar sepanjang hayat dan mempunyai modal intelektual tinggi menghadapi era globalisasi. Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif perlu juga terarah kepada pandangan jauh dan luar biasa (Mohamad bin Muda, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia).

Ciri yang kelima ialah bersifat profesional dan peka dengan segala perkembangan pendidikan. Craft (2002) menyarankan bahawa untuk menjadi pendidik yang profesional, seorang guru perlu peka terhadap inisiatif pendidikan yang terkini.

Guru yang profesional juga sentiasa mengikuti perkembangan terhadap kajian-kajian lampau dan terkini bagi mengemaskinikan pengetahuan dan kemahiran p&p guru. Mak Soon Sang (2007), menegaskan guru hendaklah melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran menggunakan internet untuk memperolehi maklumat tentang perkembangan matematik dan pedagogi pengajaran masa kini di samping membimbing murid-murid menggunakan internet sebagai p&p.

 Selain itu guru perlu mengaplikasikan teknologi maklumat (ICT) di dalam bilik darjah melalui program SLE (Smart Learning Environment) yang bertujuan meningkatkan pengetahuan guru terhadap penggunaan ICT. Antaranya aplikasi word processing, spreadsheet, database, desktop publishing, dan graphing (Dr Ranbir Kaur a/p Joginder Sigh, 2007).

Ciri yang keenam ialah guru mengamalkan pengajaran efektif. Mok Soon Sang (2007) mengenalpasti ciri-ciri pengajaran efektif dari segi perancangan, pelaksanaan, dan penilaian pengajaran. Perancangan pengajaran Clarke dan Cutler (1990) menyatakan keberkesanan pengajaran bergantung kepada perancangan, pelaksanaan, penilaian terhadap proses dan objektif pembelajaran. Oleh itu, mengenalpasti objektif pengajaran merupakan salah satu ciri kualiti pengajaran yang diperlukan dalam perancangan. Cohn et al, (1987) selanjutnya menyokong pendapat ini dengan menyatakan guru harus membuat refleksi kendiri untuk menilai objektif pengajarannya setelah selesai melaksanakan pengajaran.

Oleh itu guru harus mempunyai kemahiran dalam memilih strategi p&p yang sesuai kerana ia merupakan suatu rancangan untuk melaksanakan aktiviti p&p juga mahir dalam penggunaan kaedah dan teknik mengajar untuk menyampaikan isi pelajaran dengan cara yang berkesan, kerana pemilihan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai akan menjamin keberkesanan pengajaran serta pencapaian objektifnya secara optimum.
Pelaksanaan pengajaran Mok Soon Sang (2002), mengatakan peranan guru dalam pelaksanaan dan kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran meliputi tugas-tugas seperti menganalisis objektif dan isi kandungannya, menentukan keperluan pelaksanaan seperti melengkapkan diri dengan kemahiran mengajar dan penyediaan bahan-bahan pelajaran, merancang dan melaksanakan pengajaran, membuat penilaian untuk mengenalpasti kelemahan dengan tujuan meningkatkan keberkesanan dalam pelaksanaan pengajaran dengan membuat pengubahsuaian dalam rancangan mengajar.

Penilaian pengajaran Yap, Wan, dan Ismail (1985) dalam Kertas Kerja oleh Profesor Dr. Saedah Siraj mentakrifkan penilaian dalam pendidikan dan pembelajaran sebagai satu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif p&p. Ingham (dalam Saedah Siraj, 2000) menyarankan supaya pendidik membuat penilaian dan menghargai perbezaan setiap individu kerana setiap perbezaan itulah yang akan menentukan cara setiap individu itu belajar dan juga boleh memberi pengalaman pembelajaran kepada masing-masing.








4.0  KESIMPULAN

Oleh itu dalam menuju pendidikan bertaraf dunia, guru adalah agen terpenting dalam merealisasikan pendidikan anak bangsa Malaysia dalam mengharung cabaran di tahap yang lebih tinggi. Pengisian guru yang berkualiti seperti yang di bentangkan iaitu guru perlulah bertindak sebagai penyebar ilmu, pengamal budaya ilmu, guru sebagai role-model, mengamalkan pengajaran efektif, peka dengan segala perkembangan pendidikan, dan mengamalkan kemahiran profesional mampu meyediakan generasi muda untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang berupa masyarakat industri, ekonomi yang global, kebanjiran teknologi tinggi dan sentiasa bertambah canggih, penggunaan komputer sebagai keperluan urusan harian dan limpahan maklumat sejagat. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Mohamad bin Muda, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia dalam ucapannya, para pendidik adalah wahana yang boleh menentukan corak manusia yang mampu menghadapi alaf baru, abad ke-21

0 comments:

Post a Comment