Sunday, September 2, 2012

Saranan Berpolitik; Mampukah guru imbangi masa??






1.0  Pengenalan

Guru merupakan tenaga pengajar dalam sesebuah institusi pendidikan seperti sekolah atau tuisyen (kelas bimbingan). Guru juga dikenali sebagai pengajar, pendidik, Mudaris, lau see, vathiyar, mualim, muryid, dan sebagainya dalam pelbagai bahasa yang terdapat di dalam dunia ini. Pada zaman ambang transformasi ini, guru juga merupakan istilah yang digunakan untuk seorang pakar dalam sesuatu bidang  misalnya “management guru” merujuk kepada seorang yang pakar dan handal dalam bidang pengurusan. Di peringkat universiti pula, guru diberikan gelaran tutor atau pensyarah. Lazimnya guru perlu mahir dalam sesuatu mata pelajaran serta diperkukuhkan pula dengan pengetahuan dalam bidang pedagogi atau sains prinsip pengajaran. Dari segi agama pula, misalnya agama Hindu dan Sikh, guru mempunyai maksud yang lebih tinggi. Ia juga biasanya merujuk kepada para pendita yang mempunyai ilmu mendalam dalam hal-hal kerohanian.
  
      Keguruan adalah sebuah profesion yang tertua di dunia dan kini memasuki satu lagi era baru. Peranan guru pada masa dahulu hanya tertumpu sebagai penyampai ilmu sahaja. Namun, dalam sistem pendidikan pada masa kini guru lebih banyak berperanan sebagai pemudah cara yang berpengetahuan dan seharusnya lebih bersedia dan peka dalam melahirkan dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Selaras dengan perubahan peranan pendidik, guru haruslah lebih inovatif, kreatif, dan efektif dalam penyampaiannya serta sentiasa memikirkan pendekatan baru untuk mengadaptasikan amalan mereka dengan kehendak pelajar sebagai ‘ knowledge worker’ dalam era revolusi maklumat pada abad ke-21ini.

      Guru dalam alaf baru ini, seharusnya professional dan profesionalismenya ialah kata kunci kepada peningkatan kualiti (Jemaah Nazir,2001). Peningkatan kualiti yang dimaksudkan merujuk kepada kualiti proses dan yang lebih penting lagi ialah kualiti produk (output). Keadaan ini menunjukkan, sumber manusia (modal insan) perlu dibangunkan secara bersepadu melalui latihan-latihan bagi memastikan setiap individu dapat mengembangkan potensi ke tahap yang maksimum atau optimum. Program-program pembangunan profesinal sudah tentu dapat mengupayakan guru demi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Walaubagaimanapun, guru-guru pada masa kini berdepan dengan masalah dengan pelbagai isu yang perlu ditangani oleh mereka dengan sikap professional dan terbuka. Persoalan seperti sikap guru, kesantunan guru, kerja sambilan yang dilaksanakan oleh guru, berniaga di sekolah, menyertai dalam politik kini menjadi isu yang perlu ditangani dengan berhemah supaya kerjaya ini tidak terus terpesong daripada landasan yang sepatutnya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa guru juga memerlukan kehidupan yang berkualiti, namun konsep kualiti ini tidaklah memenuhi matlamat pendidikan sebenarnya kerana kebendaan dan kemewahan semata-mata tidak menjamin kehidupan yang sejahtera dan sesuai dengan fitrah insaniah. Oleh itu, guru sebagai insan yang terlatih perlulah bijak mencari pengertian kualiti hidup yang lebih lengkap. Tugasan ini akan membicarakan tentang masalah yang dihadapi oleh guru apabila mereka melanggari etika keguruan dalam kehidupan seharian mereka.












2.0 Isu Yang Dikaji “Saraan berpolitik mampukah guru imbang masa”
      Saya telah memilih sebuah artikel yang diambil dari majalah pendidik keluaran September 2009 sebagai artikel pilihan saya untuk mengkaji, menganalisis serta mengupaskan isu yang terdapat di dalam artikel ini secara terperinci. Artikel yang dipilih oleh saya ini adalah mengenai sasaran guru berpolitik ketika masih manjawat jawatan sebagai penjawat Kumpulan A di dalam kerajaan. Saya akan mengulas secara terperinci tentang isu-isu yang dibincangkan dalam artikel di dalam kerja kursus projek ini.

      Pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2009 yang lalu, bekas Menteri Pelajaran Malaysia iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hessein ketika menyampaikan ucapan penggulungannya sebagai Naib Presiden UMNO yang baru melontarkan sasaran supaya golongan pendidik terutamanya guru dalam Kumpulan A diberikan kebenaran untuk terbabit dalam aktiviti politik serta memegang jawatan dalam parti politik tersebut. Beliau juga telah menerangkan tujuan beliau menentukan hasrat tersebut. Tujuannya adalah kerana kepakaran golongan itu dapat digembleng dan dimanfaatkan bagi memantapkan lagi parti kerana beliau amat mengiktiraf sumbangan seseorang guru bukan sahaja dalam bidang pendidikan sahaja malah peranan yang mereka mainkan dalam perjuangan politik tempatan sejak negara merdeka.

      Alasan atau tujuan yang menguatkan lagi cadangan tersebut adalah Datuk Seri Hishamuddin Hussein yakin tindakan tersebut dapat memimpin semula anak muda yang terdiri daripada guru lepasan universiti untuk mewarisi pergerakan politik pada masa akan datang. Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan jumlah keahlian anggota sesebuah parti. Guru muda lepasan univerisiti dalam dan luar negara katanya, memiliki kelulusan professional yang dapat dioptimumkan bagi memperkasakan sesebuah parti selain memberi nafas baru dengan cetusan idea yang bernas untuk dimanfaatkan oleh semua pihak. Namun begitu, beliau juga menambah bahawa cadangan ini hanya akan diaplikasikan dengan syarat iaitu guru dilarang untuk menyebarkan dakyah atau fahaman politik di sekolah kerana tanggungjawab seseorang guru adalah untuk mengajar dan menyampaikan ilmu.

      Datuk Seri Hishamuddin juga melahirkan kebimbangannya dengan mengatakan profesionalisme, kesungguhan, dan sumbangan golongan pendidik ini diberikan ruang pada peringkat parti politik dan hala tuju kita untuk mendampingi rakyat akan terjejas kerana guru atau golongan pendidik ini menjadi mata serta telinga kepada masyarakat. Landskap politik negara yang baru ini menuntut kita untuk mendengar aspirasi, harapan serta pandangan orang ramai pada peringkat akar umbi bagi membolehkan perkhidmatan yang lebih baik diberikan kepada masyarakat.
     
Sebelum idea ini diutarakan. Pegawai kerajaan Kumpulan A atau Pengurusan  tidak boleh mengambil bahagian secara aktif dalam politik seperti berkempen, sama ada pada waktu pejabat mahupun di luar waktu pejabat. Guru bukan siswazah pula dibenarkan bergiat aktif dalam politik mengikut Perintah Am ditetapkan dengan syarat mereka mendapat kebenaran ketua jabatan masing-masing. Arahan di atas adalah syarat yang perlu ditepati mengikut Perintah Am Peraturan-Peraturan Pengawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 P U (A) 246 yang berkuat kuasa pada Jun 2002. Pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional juga dilarang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

      Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pula memberitahu bahawa beliau juga bersetuju dengan keputusan yang diambil oleh kabinet iaitu membenarkan guru-guru sekolah untuk menyertai politik. Beliau menambah bahawa sudah tentu pihak kabinet mengambil kira pandangan beberapa perkara sebelum ia dapat dilaksanakan termasuk dari sudut golongan pendidik. Guru juga merupakan golongan yang paling rapat dengan masyarakat dan sentiasa berdamping dengan pelajar serta mendapat tahu masalah yang dihadapi oleh masyarakat melalui para pelajarnya. Senorio ini menunjukkan golongan pendidik ini lebih senang mengetahui masalah yang dihadapi oleh masyarakat sekelilinginya dan juga dapat menyelesaikannya dengan cepat.

      Pendapat lain tentang isu guru boleh berpolitik ini telah diutarakan oleh Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Peng. Beliau telah melahirkan pendapatnya iaitu hanya golongan pendidik Gred 41 hingga Gred 48 sahaja dibenarkan mereka untuk berpolitik manakala golongan pendidik yang berada pada Gred 48 ke atas perlu menumpukan kepada pelaksanaan pembangunan pendidikan. Beliau juga turut menyokong sasaran Kabinet untuk membenarkan golongan guru berpolitik. Beliau juga turut menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk memberikan kebebasan berpolitik kepada golongan guru kerana ramai di golongan guru ini berpengetahuan serta mempunyai pemikiran kritis. Mereka juga boleh memberikan sumbangan yang besar kepada sistem pendidikan negara.

      Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamas Ali Hasan menyatakan persetujuannya dengan cadangan kabinet ini adalah hanya 50% sahaja. Beliau mengatakan cadangan ini menpunyai kelebihan dan kelemahannya yang tersendiri. Beliau berkata guru juga berhak untuk mengembangkan bakat yang dimiliki oleh mereka. Golongan pendidik ini selain membentuk anak bangsa, kebolehan mereka juga perlulah dioptimumkan sepenuhnya dalam menjana generasi pemimpin pelapis. Prof Madya juga menambah bahawa tugas sebagai pendidik di sekolah berjaya mengasah bakat guru untuk mejadi seorang pemimpin di peringkat yang lebih besar dengan menyatupadukan masyarakat. Beliau menambah bahawa golongan guru adalah golongan yang berwibawa serta mempunyai kebolehan untuk mengetuai program-program kemasyarakatan. Namun, beliau juga mengingat golongan guru supaya melaksanakan tugasan yang diberikan kepadanya dengan amanah serta bertanggungjawab. Golongan ini juga tidak bolehlah mencampuradukkan tugas mengajar mereka dengan menyebarkan fahaman politik kepada para pelajarnya. Menurut beliau, guru tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik jika menyertai politik. Hal ini kerana guru terpaksa menghadiri mesyuarat-mesyuarat tentang partinya pada waktu bekerja dan menyebabkan guru tersebut tidak dapat menjalankan tugasnya sebagai seorang guru dengan baik. Tugasnya seperti mengajar serta menjaga kebajikan pelajar akan tergendala. Pengurusan masanya untuk berpolitik serta mengajar di sekolah tidak dapat diimbangi dengan baik. Beliau mengatakan bahawa guru juga akan kelihatan letih di sekolah apabila beliau bergiat cergas dalam bidang politik pada waktu malam sahaja. Keadaan ini juga menyebabkan beliau tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Oleh itu, pengurusan masa adalah sangat penting sekiranya seseorang guru itu ingin terlibat dalam politik.

      Terdapat juga orang membantah saraan guru boleh berpolitik ini. Tokoh pendidikan iaitu Tan Sri Arshad Ayub adalah antara orang tidak menyokong serta membantah saraan guru boleh berpolitik ini. Beliau telah memberitahu bahawa peranan guru pada zaman pascamerdeka dengan pramerdeka adalah berlainan dan sudah banyak berubah. Beliau berkata pada era politik pascamerdeka, golongan berpendidikan tinggi dalam pelbagai jurusan perlulah dioptimumkan tenaga, pengetahuan serta kebolehan mereka dalam memimpin masyarakat. Manakala senario politik pramerdeka lebih kepada usaha mendapatkan kemerdekaan serta politik pada masa itu menjurus kepada kelangsungan perjuangannya serta survival. Tan Sri Arshad Ayub juga mengatakan bahawa tugas guru-guru pada masa kini tidak boleh diganggu kerana tanggungjawab mereka semakin mencabar berikutan ledakan maklumat menerusi teknologi maklumat dan komunikasi dalam pelbagai medium lain. Semua perubahan ini menuntut guru lebih bersedia berdepan dengan pelbagai kerenah pelajar selain memastikan masalah displin dapat dikurangkan. Beliau menambah bahawa sekiranya guru terlibat dalam politik maka guru tidak dapat meluangkan masa yang sepenuhnya kepada sekolah dan murid-muridnya.


3.0 Analisis Isu Yang Dikaji “Saraan berpolitik mampukah guru imbang masa”
      Peranan dan akuantabiliti seseorang guru sememangnya memberikan impak yang besar yang mendalam dalam diri setiap orang murid. Seseorang guru memainkan peranan yang amat signifikan dalam hidup seseorang  individu, sejaklah dia kecil hinggalah menjawat jawatan yang hebat dalam kehidupan sehariannya. Golongan pendidik ini mendidik anak muridnya untuk menjadi seorang insan yang berjaya bukan sahaja dari segi lahiriah malah rohaniah juga. Namun begitu, dunia hari ini semakin maju dan bergerak pantas. Peranan dan tanggungjawab yang digalas oleh guru pada hari ini semakin mencabar seiring dengan kehendak kerajaan dan masyarakat. Perkembangan semasa menjadikan profesion keguruan turut menerima tempiasnya.

      Para ibu bapa mengharapkan sekolah dan guru dapat meningkatkan kepercayaan kepada Tuhan dan dalam diri murid itu sendiri. Perkara ini menjadi lebih dan kritikal dalam kehidupan kita dalam era globalisasi ini. Maksudnya, kehidupan yang terlalu bersifat materialistik, teknologi, kemewahan dan hiburan boleh menjejaskan keinginan manusia kepada Tuhan. Keadaan kekosongan inilah guru boleh membina kekuatan dalaman iaitu kerohanian menerusi aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kerohanian yang mantap dan suci akan membina intelek yang sihat, emosi yang stabil dan jasmani yang sejahtera. Kerohanian dan keseimbangan potensi rohani, intelek, emosi dan jasmani akan menyubur dan meningkatkan kepercayaan murid kepada Tuhan. Pembinaan kekuatan dalaman ini mudah dilaksanakan jika guru menjalankan tugasnya sebagai ibadah dan matlamat membangunkan insan.

      Setiap manusia inginkan hidup yang berkualiti dan ia biasanya dikaitkan dengan kejayaan mencapai prestasi hidup yang tinggi dan diiktiraf oleh masyarakat. Kualiti hidup bermaksud kejayaan memperoleh status yang tinggi, kemewahan, dan kebendaan. Sebagai manusia biasa, seseorang guru turut akan merasakan desakan dan tekanan hidup yang sedemikian. Mereka juga memerlukan kehidupan sebagaimana yang dikecapi oleh orang lain. Situasi sebeginilah yang menyebabkan kerjaya ini kini digemparkan dengan kepelbagaian isu yang mendapat perhatian masyarakat. Guru pada masa kini berhadapan dengan pelbagai isu yang perlu ditangani dengan sikap profesonal dan terbuka. Isu-isu yang dihadapi oleh  golongan guru ini adalah negatif dan bercanggahan dengan etika keguru seseorang guru.

      Istilah “etika” atau ethic adalah berasal daripada perkataan greek iaitu “ethos” yang bermaksud perwatakan atau keperibadian. Mengikut Kamus Dewan (1995) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka etika bermaksud satu sistem dasar akhlak adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Menurut pengertian dari sudut Islam pula, etika adalah akhlak dan ianya merujuk kepada tingkah laku yang baik yang dituntut oleh syarak. Menurut sarjana barat iaitu J.L Mackie beliau mendefinisikan etika sebagai displin yang dapat menerangkan nilai baik dan buruk tentang sesuatu perbuatan serta menyediakan garis-garis perbezaan antara kebaikan dan keburukan seseorang. Menurut A.R Licey dan W.L Reese pula, mereka mendefinasikan etika sebagai kegiatan aktiviti praktikal yang melibatkan tingkah laku, adat dan cara hidup serta aspek niat dan kecenderungan seseorang atau masyarakat dalam melakukan sesuatu aktiviti. Menurut pandangan ahli falsafah pula, etika merujuk kepada pengajian moral yang tertumpu kepada nilai dan kelakuan manusia.

Terdapat enam isu-isu yang berkaitan dengan etika guru juga perlulah diambil kira untuk mewujudkan seorang guru yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Keenam-enam isu etika guru tersebut adalah kesantunan guru, kepedulian guru, penampilan guru, berniaga di sekolah, mengurus masa, dan mengurus kewangan. Isu- isu etika ini telah ditunjukkan dalam bentuk grafik seperti yang terdapat di bawah ini.



Rajah 1: Isu-isu Etika Guru

            Artikel yang dikaji ini mengutarakan masalah bahawa guru-guru yang menyertai bidang politik ini tidak dapat memberikan komitmen kepada kedua-dua bidang yang diceburi olehnya iaitu bidang keguruan dan politik yang memberangsangkan. Menurut artikel yang dikaji, ia memberikan persoalan kepada kita mampukah seseorang guru itu untuk menguruskan atau mengimbangi masanya dengan baik antara politik dan bidang keguruan. Oleh itu, saya menggunakan isu etika keguruan yang terdiri daripada 6 aspek untuk menganalisis artikel ini. Setelah membuat beberapa buah analisis saya telah mengenalpasti sebuah isu etika keguruan yang amat berkait dalam artikel yang telah saya kaji iaitu “saranan berpolitik mampukah guru imbang masa” iaitu pengurusan masa.
            Pengurusan masa bermaksud anda mampu untuk menguruskan masa secara berkesan bagi melakukan aktiviti harian dan merasa puas hati dengan apa yang telah anda lakukan. Pengurusan masa yang berkesan merupakan ciri-ciri penting di dalam gaya gidup yang sihat. Menguruskan masa melibatkan penggunaan peralatan dan kaedah atau teknik untuk merancang dan menjadualkan masa yang sesuai dan tepat. Peralatan dan teknik tersebut bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan masa anda. Pengurusan masa adalah amat penting bagi membantu guru mengurus dan mengendalikan masa dengan bijak dan bertanggungjawab ketika berada di sekolah mahupun berpolitik. Pengurusan masa tidak hanya merujuk kepada teknik menguruskan kerja harian malah ia merangkumi bagaimana kita menggunakan masa kita secara berkualiti. Jadual harian mungkin hanya sebahagian kecil daripada teknik pengurusan masa sahaja. Secara ringkas, teknik pengurusan masa merujuk kepada cara menguruskan masa agar anda dapat mencapai matlamat anda. Dengan teknik pengurusan masa yang berkesan, seseorang guru akan dapat melakukan banyak perkara dalam masa yang singkat sahaja. Pengurusan masa yang efektif  ini membantu golongan pendidik ini untuk memberikan sumbangan di sekolah dan juga ketika berpolitik.
            Kebanyakkan guru pada hari ini merungut mereka terlalu sibuk hingga tidak dapat menumpukan perhatian kepada pengajaran di dalam kelas apatah lagi apabila mereka menyertai bidang politik. Adakah ini kerana mereka benar-benar sibuk melaksanakan tanggungjawab sebagai guru dan ahli politik atau kerana mereka tidak dapat menguruskan masa mereka dengan baik? Kemahiran pengurusan masa adalah amat penting kepada setiap insan. Hal ini adalah kerana, tanpa pengurusan masa yang baik guru mungkin akan menghabiskan banyak masa dengan melakukan aktiviti yang menghalang mereka daripada mencapai matlamat. Tanpa kemahiran pengurusan masa memungkinkan guru tidak akan dapat menyelesaikan sesuatu pekerjaan dengan baik. Contohnya, tanpa pengurusan masa yang baik golongan guru ini tidak dapat memberikan keutamaan atau perhatian dalam kedua-dua bidang yang disertai olehnya iaitu bidang keguruan dan juga politik. Secara rasionalnya, masa bukanlah sesuatu masalah yang memerlukan kepada suatu pengurusan, yang paling penting adalah bagaimana seseorang individu tersebut mengendalikannya. Masa juga dirujuk sebagai semua tindakan yang dipatuhi oleh individu bagi memastikan mereka menggunakan masa dengan baiknya. Menurut Stephen Covey (1989) dalam bukunya “The Seven Habits of Highly Effective People”, menyatakan bahawa konsep masa mestilah dilihat secara menyeluruh dalam seluruh aspek yang membabitkan kehidupan manusia. Manusia mempunyai empat dimensi iaitu fizikal, mental, sosial/mental, dan spiritual. Kesemuanya perlu difahami dan dipraktiskan agar mendapat penyatuan yang serasi.
            Semua masalah yang dinyatakan di atas tadi boleh diuruskan dengan baik jika setiap guru tahu untuk membezakan mana aktiviti yang harus diutamakan dan mana pula yang harus dikemudiankan. Rajah di bawah ini menunjukkan matriks contoh pengurusan masa yang berkesan yang boleh diamalkan oleh seseorang dalam melaksanakan aktiviti hariannya.


SEGERA
TIDAK SEGERA
PENTING
·         Solat
·         Laporan Panitia
 (Hantar esok)
·         Menghadiri mesyuarat parti politik
·         Laporan Minit Mesyuarat
·         Sediakan set ulangkaji
·         Berjumpa dengan masyarakat setempat
TIDAK PENTING
·         Urusan lawatan
·         Perancangan Jangka Panjang
·         Menonton Televisyen
·         Memancing
Jadual 1 : Matriks Penggunaan Masa
            Matriks di atas menunjukkan pengagihan contoh perkara-perkara yang perlu didahulukan serta perkara-perkara yang boleh dilakukan kemudian. Seseorang guru atau golongan pendidik yang menyertai politik perlulah mengaplikasikan penggunaan matriks ini dalam kehidupan seharian mereka, supaya mereka dapat mengimbangi masa 24 jamnya dengan baik serta memberikan sumbangan yang baik dalam kedua-dua bidang ini. Kedua-dua bidang ini memerlukan pengorbanan masa oleh seseorang guru. Contohnya, dalam matriks ini guru telah menganalisis perkara-perkara yang perlu dilaksanakan olehnya dalam kadar segera serta tidak segera. Selain itu, matriks ini mempunyai dua bahagian iaitu untuk mencatatkan perkara-perkara penting serta tidak penting. Maka, warga pendidik ini bolehlah melakukan perkara-perkara yang penting dan perkara yang perlu dilaksanakan dengan kadar segera terlebih dahulu. Senario ini menyebabkan guru dapat mengurus serta mengunakan masanya dengan efektif serta berkesan.
Masa amat penting untuk semua makhluk di dunia ini. Bagi umat Islam, di dalam Al-Quran banyak ayat yang menyentuh tentang pentingnya mengurus masa. Salah satu ayat Al-Quran yang menyentuh kepentingan masa adalah seperti yang diberikan maksudnya yang berikut: “Demi masa. Sesungguhnya masa itu berada di dalam kerugian. Kecauli mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran”. Masa yang terbuang begitu sahaja tidak dapat diganti dengan wang ringgit mahupun dengan berlian yang termahal sekalipun. Terdapat sebuah pepatah yang mengatakan “masa itu emas” dan kita khususnya golongan pendidik perlulah menggunakan masa ini dengan cekap supaya mereka dapat berbakti dalam bidang keguruan dan juga dalam bidang politik.
Rajah di bawah ini menunjukkan bagaimana seseorang guru boleh merancang agar segala tugasan dapat disiapkan mengikut perancangan  dan jangka masa yang diperuntukkan. Rajah di bawah ini terdiri daripada empat bahagian iaitu Act, Plan, Check, dan juga Do. Keempat-empat bahagian ini saling berkait antara satu sama lain.  Golongan pendidik juga bolehlah menggunakan rajah di bawah ini ketika merancang aktiviti yang melibatkan bidang pendidikan dan juga politik.
Rajah 2 : Konsep Perancangan Tugasan
Berdasarkan Rajah 2 diatas, seseorang guru perlulah merancang pelaksanaan tugasan. Ini bermaksud bahawa setiap guru perlulah menentukan masa untuk membuat perancangan pengajaran, masa aktiviti bersama keluarga, masa untuk berpolitik dan aktiviti sampingan yang lain. Seterusnya pada peringkat Do iaitu Buat dan Bergerak. Guru juga perlulah mempraktikkan segala perancangan dan jadual yang telah mereka buat. Contohnya, seseorang guru telah merancang bahawa dia ingin memberikan kelas tambahan kepada anak muridnya sebelum berjumpa dengan penduduk kampung, perlulah melaksanakan tindakannya. Mereka juga tidak bolehlah membiarkan perkara-perkara yang dirancang menjadi tergendala begitu sahaja. Pada peringkat Act pula memerlukan guru bertindak dan bekerja mengikut jadual. Setiap guru perlulah belajar untuk mendisplinkan diri berdasarkan jadual yang telah dirancangkan tersebut. Setelah selesai segala pelaksanaan tugasan yang berkenaan, guru perlulah check atau periksa semula setiap aktiviti yang dijalankan. Post Mortem ini akan membolehkan guru mengesan sejauh mana sesuatu tugasan dapat dilaksanakan dalam jangka masa yang ditetapkan. Keadaan ini secara tidak langsung akan memberikan kesan yang positif dalam penglibatan seseorang guru dalam bidang-bidang yang diceburi olehnya. Guru itu juga dapat memberikan sumbangannya dengan ikhlas dan berkesan dalam bidang keguruan dan juga politik.
            Di samping itu, setiap guru perlulah menggunakan Rancangan Bertindak pada masa yang sesuai seperti yang dirancangkan. Rancangan Bertindak dikaitkan dengan susunan tugasan dan akauntabiliti yang perlu dilakukan oleh seseorang individu dalam sesebuah hari mengikut keutamaan. Sebagai contoh, guru perlulah mencatatkan perkara-perkara yang MESTI dilakukan di dalam Rancangan Bertindak tersebut. Perkara-perkara MESTI dilakukan bermaksud perkara-perkara yang MAHU dilakukan. Kemudian, cuba habiskan perkara yang ingin mereka lakukan mengikut keutamaan. Jika mereka tidak sempat untuk menghabiskan kerja mereka untuk hari tersebut, catatkan aktiviti yang belum dijalankan pada kertas baru pada keesokkan harinya. Ulang perkara yang sama apabila, mereka hendak memulakan kerja pada hari keesokkannya. Kaadaan ini semua memerlukan pengurusan masa yang efektif.
            Berdasarkan kepada Rajah 3, setiap guru harus menghapuskan tabiat tangguh dan tunggu dengan mengingati 3 perkara iaitu kelmarin sudah berlalu, esok masih belum berlaku, dan hari ini peluang masih ada. Oleh yang sedemikian, guru perlulah menggunakan peluang yang ada supaya masa yang ada itu tidak berlalu begitu sahaja. Seseorang guru juga harus mengetahui kepentingan pengurusan masa. Apabila seseorang guru gagal untuk menguruskan masa dengan bijak, mereka mungkin akan membazirkan banyak masa yang berfaedah, menjadi tidak produktif, mendapat tekanan (stress), menjadi cemas dan bimbang, bertambah gusar dan mudah marah serta gagal untuk menyiapkan kerja dalam masa yang ditetapkan. Seandainya, seseorang guru dapat menguruskan masa mereka dengan berkesan, maka dia juga akan dapat menyelesaikan segala tugasan dalam jangka masa yang telah dirancang. Keadaan ini akan menjadikan mereka sebagai seorang guru yang lebih terurus, produktif, kurang tertekan, beroleh kegembiraan, serta mempunyai banyak masa untuk melakukan aktiviti yang lebih bermakna dalam kehidupan. Selain itu, pengurusan masa ini juga membantu guru-guru untuk meluangkan lebih banyak masa berharga mereka kepada rakyat apabila mereka telah menyertai politik.
            Displin yang tinggi dan ketat sangat diperlukan bagi memastikan kelancaran kepada pengurusan masa untuk melaksanakan apa yang dirancang. Setiap guru perlu menyediakan jadual harian kerana melalui cara ini, seseorang guru akan dapat mengatur aktiviti yang sesuai dengan tahap kecergasan tubuh badan mereka. Fenomena ini adalah penting kerana tahap kecergasan setiap orang adalah tidak sama dan berubah mengikut situasi. Hal ini kerana setiap individu di dunia ini mempunayai keupayaan mental dan fizikal yang berlainan. Rajah di bawah ini menunjukkan tahap kecergasan individu yang perlu diberikan perhatian oleh setiap guru.
Rajah 3 : Tahap Kecergasan Tubuh dan Minda
Merujuk kepada rajah di atas, guru yang mengetahui dan memahami setiap tahap kecerdasan tubuh dan minda akan dapat melaksanakan aktiviti mengikut jadual dan dapat mengikuti pengurusan masa yang telah ditetapkan. Masa rehat juga perlu dpertimbangkan. Manusia perlulah berehat dalam setiap perkara. Rehat adalah faktor yang penting dan sering dikaitkan dengan tidur. Contohnya, kita perlu berehat selama 15 minit pada waktu tengah hari untuk mengembalikan kecergasan kita. Justeru itu, pengurusan waktu rehat dan tidur adalah penting untuk pembelajaran yang berkesan dan dapat menghasilkan mutu kerja yang berkualiti. Setiap orang yang berjaya menpunyai sistem jadual yang sendiri. Kebanyakkan guru dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang kerana mereka mematuhi pengurusan masa yang telah dirancang. Situasi atau perkara yang sama juga perlulah diaplikasikan oleh guru-guru yang giat berpolitik ini. Mereka perlulah merancang sebuah jadual waktu yang membolehkan mereka untuk berkhidmat kepada anak muridnya serta masyarakat mengikut tahap keupayaannya. Orang lain tidak dapat membuatkan jadual waktu kepada mereka kerana hanya mereka sahaja yang mengenali diri mereka sepenuhnya secara betul dan cekap. Keberkesanan jadual waktu yang dibuat oleh tuan punya badan adalah lebih baik berbanding jadual waktu yang dibuatkan oleh orang lain. Keadaan ini dapat mewujudkan pengurusan masa yang efektif dan cekap.
Pengurusan masa yang berkesan juga akan mewujudkan jadual kepada seseorang. Jadual untuk seseorang itu akan wujud secara tidak langsung walaupun ia tidak bertulis dan dirancang di atas kertas tetapi ia wujud dengan sendiri kerana berlakunya proses pengulangan ruti-rutin harian seseorang. “Oleh itu, jadual telah wujud dengan sendiri. Jadi untuk menjadi lebih berjaya, kita perlulah menguruskan masa dengan baik dan mempunyai jadual untuk menguruskan aktiviti-aktiviti dalam kehidupan seharian. Pengurusan masa ini perlulah dipatuhi dan diikuti supaya matlamat yang ingin dicapai akan tercapai dengan lebih cepat dan merancang. Pengurusan masa memerlukan guru mengamalkan Prinsip Asas Pengurusan Masa supaya ia dapat memberikan kesan yang maksimum kepada sikap guru yang berkenaan. Berikut ialah antara kesan pengurusan masa kepada seseorang guru.
i)             Mengubah tabiat lama yang negatif
Tabiat lama yang selalu dilakukan juga disebut habit. Tabit negatif ini perlu dibuang dalam diri setiap individu. Jika selama ini, seseorang guru itu merupakan seorang individu yang selalu menagguhkan kerja atau tugasan yang diberikan kepadanya. Maka guru tersebut perlulah mengambil perhatian terhadap perkara ini dan mengubah sikap negatifnya ini. Oleh itu, golongan pendidik ini haruslah mengubah tabiat ini supaya mereka lebih awal dapat menyiapkan tugasan yang diberikan agar pada waktu yang lain mereka dapat memberikan tumpuan yang lebih kepada aktiviti yang lain. Keadaan ini akan menyebabkan golongan pendidik ini mempunyai masa berkualiti untuk melakukan pelbagai perkara lain dalam bidang atau profesion keguruan atau politik ini. Selain itu, ia juga menyebabkan pendidik ini akan menjadi guru yang lebih efisen kerana dapat menyiapkan segala tugasan dalam jangka masa yang lebih awal berbanding dengan guru lain. Selain itu, golongan ini juga dapat memberikan perhatian kepada bidang politik yang diceburi olehnya.

ii)            Komunikasi
Komunikasi dapat memberikan implikasi yang besar jika kita tidak dapat menggunakan dengan berkesan dan terbaik. Contohnya, semasa seseorang guru itu berada di dalam bilik guru dan sering berbual-bual kosong dengan rakan-rakan guru yang lain tentang hiburan dan perkara sia-sia yang tiada kaitan langsung dengan kehidupan seharian. Senario ini adalah satu bentuk pembaziran yang amat ketara dan merugikan setiap individu. Jika ini yang golongan pendidik yang menyertai politik amalkan sudah pasti masanya akan terbuang begitu sahaja tanpa berkhidmat kepada murid-murid dan juga dalam politik.  Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa golongan guru ini tidak bijak untuk menguruskan masa dengan melakukan aktiviti yang berfaedah. Sudah pasti, seseorang guru ini tidak akan menpunyai masa yang mencukupi untuk mencurahkan baktinya di sekolah dan juga arena politik. Keadaan ini secara tidak langsung akan menjejaskan nama baiknya serta masa depan anak murid yang bergantungnya.

Islam turut menyeru penganutnya untuk menguruskan masa dengan baik. Selain itu, Islam juga menggesa supaya masa digunakan dengan baik dan sentiasa diawasi kerana dalam setiap masa ada kelebihannya yang tersendiri. Setiap individu hendaklah memperuntukkan masa seperti yang berikut :
a)    Masa beribadat kepada Allah – sembayang, puasa, zakat, haji dan lain-lain
b)    masa bekerja – mengikut bidang pekerjaan masing-masing dan tidak bercanggah dengan syariat Islam
c)    masa untuk menambahkan intelektual – melalui pembelajaran formal atau tidak iaitu pembacaan, pendengaran, perbincangan, menghadiri majlis ilmu
d)    masa bekeluarga – mencapai  kebahagian bergantung kepada kebijaksanaan menguruskan masa
e)    masa bermasyarakat dan bersosial – gotong – royong, bersukan, berpersatuan, kerja amal dan sebagainya
f)     masa berehat – memulihkan tenaga dan fikiran bagi meneruskan kehidupan

Kenyataan di atas, menunjukkan kepada kita bahawa pengurusan masa yang baik oleh seseorang guru apabila menyertai politik menyebabkan dirinya dapat meluangkan masanya 24jam sehari untuk melakukan pelbagai perkara. Masa 24jam tersebut juga bolehlah digunakan bukan sahaja untuk mengajar dan menyertai politik sahaja malah ia boleh digunakan untuk mendekati diri kita kepada Tuhan Yang Maha Esa, keluarga, masyarakat dan sebagainya.

Apabila sudah diketahui berapa banyakkah masa yang digunakan dalam sehari maka jelaslah kepada kita bahawa banyak masa yang harus kita gunakan atau peruntukkan untuk membuat kerja-kerja seharian kita. Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dapat disimpulkan bahawa pengurusan masa yang baik adalah penggunaan masa yang berkualiti. Kualiti masa dapat dicapai dengan adanya prinsip asas bagi kita untuk menguruskan masa. Justeru itu, ia akan menjadikan kehidupan kita menjadi lebih berkesan dan bermakna. Terdapat banyak bekas guru yang telah berjaya dalam bidang politik ini seperti Tun Ghafar Baba, Allahyarham Tan Seri Megat Junib Megat Ayub, Allahyarham Datuk Razali Ismail, dan banyak lagi.Golongan ini telah terlibat dalam bidang pendidikan sebelum menyertai politik. Mereka juga telah berjaya dalam hidup mereka dengan menjadi guru serta pemimpin yang berjaya. Kalau pemimpin-peminpin ini boleh melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan jayanya sudah pasti kita juga dapat mencontohi mereka. Oleh itu, seseorang guru yang mengajar di sekolah bolehlah menyertai politik dengan pengurusan masa yang bersistematik.


0 comments:

Post a Comment