Tuesday, September 4, 2012

Isu : Tekanan dalam Profesion Perguruan


Isu Tekanan Dalam Profesion Perguruan
(Berdasarkan artikel “Pendidik Mesti Bijak Kawal Emosi” yang ditulis oleh Pengarah Perhubungan Korporat Universiti Sains Islam Malaysia, DR. SAPORA SIPON dalam Utusan Malaysia Online bertarikh 23 Julai 2007)

Di zaman yang serba mencabar dan moden ini di kala pergerakan semakin laju, seiring dengan maklumat bergerak pantas serta semuanya menuntut kesempurnaan dan komitmen yang tinggi daripada pelakunya, pastinya semua orang tidak dapat lari daripada mengalami tekanan. Tekanan merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental dan kerap menyerang masyarakat pada hari ini. Kehidupan manusia pada alaf ini amat mencabar dan kompleks. Kepelbagaian dan kekomplekasian kehidupan ini menyebabkan munculnya “Sindrom Baru” yang menyerang manusia iaitu tekanan atau secara khususnya lebih dikenali sebagai stres. Menurut Hatta Sidi dan Mohamed Hatta Shaharom (2002), tekanan merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia sejak dahulu lagi tanpa disedari.
Profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang sungguh mencabar. Tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka dengan perkembangan terkini dalam proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber, dan pencapaian matlamat pendidikan (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Seiring dengan itu, pelaksanaan pelbagai reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan peranan dan tanggungjawab guru-guru menjadi lebih mencabar.
Menurut rencana dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk “Guru Lebih Stres” yang ditulis oleh Noor Hamzah Abu Bakar pada 24 April 2012, kajian menunjukkan bahawa guru berada di kedudukan keempat dalam kerjaya yang paling mencetuskan tekanan selepas polis, pegawai penjara dan jururawat. Kedudukan ini berada di atas daripada profesion tentera yang menduduki tempat kelima. Malah Pengarah Urusan Great Life Physio dan Rehabilation, Mohd. Rozaimi Che Kamaruddinata pula menyatakan bahawa, “Seseorang guru berdiri lama ketika mengajar di dalam kelas serta melakukan aktiviti sukan dan sebagainya. Jadi, tidak mustahil mereka mengalami tekanan seperti kesakitan anggota badan.”
Di Malaysia, fenomena tekanan dalam kalangan guru kini sedang hebat diperbincangkan dan dijadikan sebagai bahan kajian ilmiah. Malahan, kajian-kajian yang lepas juga mendapati bahawa profesion perguruan adalah bidang kerjaya yang menghadapi tekanan kerja yang tinggi (Cooper, 1995 dan Mokhtar,1998).  Kita sering mendengar dan terbaca di dada-dada akhbar tentang masalah-masalah dan tekanan-tekanan yang dialami oleh guru-guru masa kini contohnya seperti tekanan daripada pihak ibubapa mahupun pihak pentadbir. Tekanan-tekanan dan masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru tersebut pastinya akan menyumbang kepada stres dan kadang-kala ke tahap yang lebih kritikal, iaitu penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan. Ini pastinya akan menyebabkan mutu dan kualiti perkhidmatan guru-guru terjejas selain turut memudaratkan kesihatan fizikal dan mental guru. Banyak kajian yang telah dilakukan juga menunjukkan bahawa kerjaya sebagai seorang guru adalah antara salah satu kerjaya yang menyumbang kepada masalah stres tertinggi. Persoalannya, apakah punca yang menyebabkan masalah ini?
Berdasarkan analisis yang dilakukan pada artikel penulisan Dr. Sapora Sipon berjudul “Pendidik Mesti Bijak Kawal Emosi” yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia Online pada 23/7/2007, didapati bahawa terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan berlakunya tekanan kerja dalam profesion perguruan. Antaranya ialah beban tugas, persekitaran tempat kerja,masalah disiplin murid, keperluan penghargaan, kekangan masa dan sumber, masalah peribadi serta faktor geografi.
Bebanan kerja yang semakin meningkat dari semasa ke semasa juga menjadi penyebab utama bagi berlakunya tekanan yang lebih dikenali sebagai stres, dalam kalangan guru. Isu ini telah dibincangkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18 Ogos 2012 yang ditulis oleh Abdul Muin Sapidin, di mana Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa bahawa, “Tahap stres di kalangan guru-guru di negara ini semakin menjadi dan membimbangkan ekoran bebanan tugas yang meningkat.”  Kerjaya seorang guru pada 20 tahun yang lampau mungkin tidak sama dengan kerjaya seorang guru pada masa kini. Secara amnya, mungkin kerjaya seorang guru itu kelihatan hanyalah sekadar menyampaikan dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas namun sebenarnya tanggungjawab dan beban tugas seorang guru itu melebihi dan merangkumi segala-galanya bermula daripada mengajar dan mendidik murid-murid, aktiviti-aktiviti ko-kurikulum, tugas-tugas pengkeranian sehinggalah kepada kerja-kerja sampingan seperti mengecat, membuat garisan padang dan pelbagai jenis pekerjaan lagi. Bolehlah dikatakan bahawa seseorang guru itu sentiasa bertugas dan dilimpahi dengan pelbagai tanggungjawab bermula dari awal pagi sehinggalah kepada waktu petang. Oleh itu, bolehlah dirumuskan bahawa bebanan kerja yang semakin meningkat adalah antara salah satu punca berlakunya tekanan di kalangan guru-guru.
Selain itu, persekitaran tempat kerja iaitu sekolah tempat guru-guru mengajar juga telah dikenalpasti antara punca-punca berlakunya tekanan di kalangan guru-guru. Persekitaran yang dimaksudkan ialah hubungan guru-guru dengan pihak pentadbir, ibubapa, rakan sejawat mahupun murid-murid seperti yang telah diklasifikasikan oleh Dr. Sapora Sipon dalam rencana beliau. Ini menjelaskan bahawa hubungan baik guru-guru dengan pihak pentadbir, ibubapa, rakan sejawat mahupun murid-murid pastinya akan mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan baik untuk guru. Namun begitu, seringkali kita mendengar guru-guru sering menghadapi masalah dan tekanan khususnya daripada pihak pentadbir dan ibubapa. Pihak pentadbir, khususnya Guru Besar seringkali dilaporkan menekan para guru supaya berusaha keras siang dan malam bertujuan untuk meningkatkan prestasi sekolah dalam bidang akademik mahupun ko-kurikulum tanpa mengira kekangan dan masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru tersebut. Hal ini ditambah lagi dengan pelbagai karenah ibubapa yang bulat-bulat menyerahkan tanggungjawab sebagai penjaga, pengasuh dan pendidik kepada anak-anak mereka tanpa menghulurkan bantuan kepada guru-guru khususnya dalam menangani gejala sosial yang berlaku di kalangan anak-anak mereka. Tambahan pula, terdapat segelintir guru yang mempunyai masalah dengan rakan-rakan sejawat khususnya di kalangan guru perempuan yang suka berpuak-puak dan ini pastinya menyumbang kepada masalah stres di kalangan para guru.
Selain itu, kadar masalah disiplin yang tinggi di kalangan murid-murid, serta kegagalan guru-guru mengawal kelas semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung juga menjadi salah satu punca berlakunya stres di kalangan guru-guru. Di dalam bilik darjah guru berhadapan dengan masalah salah laku pelajar yang mana faktor ini dipercayai antara faktor yang menyebabkan guru-guru di sekolah menghadapi tekanan. Guru terpaksa berhadapan dengan masalah pelajar-pelajar yang suka membuat bising, biadap atau kurang ajar dan kesukaran mengawal pelajar dalam kelas, misalnya pelajar hiperaktif yang suka berlari-lari di dalam kelas serta mengganggu rakan-rakan lain semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Sehubungan itu, kita perhatikan bahawa faktor penghargaan juga merupakan satu lagi faktor yang boleh menyebabkan tekanan kerja kepada guru. Faktor penghargaan ini merujuk kepada penghargaan yang sepatutnya diberikan kepada guru-guru yang rajin, berdedikasi, dan cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum. Terdapat guru-guru yang benar-benar memberi komitmen yang tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran, namun penghargaan yang sewajarnya masih belum diperolehi. Selain itu, terdapat guru-guru yang tidak berpeluang untuk kenaikan pangkat dan masih tidak diiktiraf senioritinya untuk memegang sesuatu jawatan. Adakalanya pandangan, pendapat dan suara seseorang guru demi kebaikan sekolah tidak dihargai atau kurang mendapat perhatian yang baik dari pihak pentadbiran sekolah. Ini juga boleh menimbulkan perasaan tersinggung dan kecewa sehingga menyebabkan guru-guru itu menjadi kurang proaktif lagi seiring dengan tekanan perasaan yang dialami. Selain itu, terdapat segelintir guru yang melihat gaji yang diterima tidak seimbang dengan tugasnya sedangkan mereka ini mengharapkan gaji yang seimbang dengan tugas-tugas yang ditanggungnya. Sepatutnya apabila guru-guru tersebut memegang sesuatu jawatan atau tugas yang berat, pihak pentadbir harus peka terhadap mereka yang dibebani kerja yang banyak.
Faktor kekangan masa dan sumber merupakan faktor seterusnya yang menjadi penyebab berlakunya tekanan kerja kepada guru. Kekangan sumber merujuk kepada kekurangan peralatan dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran, keadaan bilik guru, kekurangan kelas, tuntutan sukatan pelajaran dan lain-lain. Kekangan masa pula ialah kekurangan masa guru-guru untuk mengajar, menghabiskan sukatan pelajaran yang diajar, pelajar dan masa rehat yang singkat. Pelbagai kursus juga perlu dihadiri oleh guru, kadang kala memakan masa yang lama sehingga terpaksa meninggalkan kelas yang diajar. Tambahan pula, guru tersebut tidak dapat menghabiskan sukatan pelajaran bagi mata pelajaran yang diajarnya. Setelah tamat kursus, guru perlu menghabiskan dan menyiapkan tugasan yang tertangguh sebelum ini. Ini tentunya akan menambahkan tekanan kerja kepada guru tersebut.
Di samping itu, masalah peribadi turut menjadi punca atau sebab berlakunya tekanan di kalangan guru-guru. Masalah peribadi yang dimaksudkan di sini adalah seperti masalah rumahtangga ataupun masalah kesihatan yang berlaku di kalangan guru. Pastinya masalah-masalah yang berlaku dalam rumahtangga seperti penceraian mahupun masalah kesihatan seperti ditimpa penyakit-penyakit kronik menjadi salah satu sebab guru mengalami stres. Masalah-masalah ini kadangkala boleh membawa kepada sindrom kemurungan di kalangan guru dan mereka juga akan berasa kurang bersemangat semasa berada di sekolah. Tidak dapat dinafikan juga bahawa kenaikan pangkat yang terhad serta kadar gaji yang rendah turut menyumbang kepada tekanan perasaan yang seterusnya menjadi pencetus berlakunya masalah stres kepada seseorang guru. Kekangan kewangan disebabkan oleh gaji yang rendah pastinya menghalang guru-guru untuk mencapai status sosial yang baik dalam sesebuah masyarakat dan ini pastinya mengundang tekanan juga kepada para guru. Hal ini sememangnya berlaku di kalangan para guru khususnya guru-guru yang baru memasuki alam pekerjaan yang dilaporkan sukar untuk memberikan taraf hidup yang lebih baik kepada keluarga mereka khususnya untuk memiliki rumah dan kenderaan mewah yang sendiri.    
Walau bagaimanapun, geografi juga menjadi faktor penting dalam menentukan tekanan kerja di kalangan guru. Kedudukan sekolah dan masyarakat di kawasan sempadan adalah berbeza dengan tempat-tempat lain di Malaysia. Antara tempat yang agak unik dan perlu dibuat kajian ialah kawasan sempadan Malaysia dengan Thailand. Ini dapat kita lihat di Rantau Panjang, Kelantan di mana 35 peratus pelajar di sekolah berasal dari Sungai Golok, Thailand. Pelajar-pelajar di sini adalah terdiri daripada pelajar Melayu dan mereka berulang-alik melalui jambatan dan sebahagian lagi datang dengan menaiki sampan. Budaya hidup di sini agak berlainan dengan tempat lain di Malaysia kerana sedikit sebanyak budaya dari Thailand telah mempengaruhi masyarakat di Rantau Panjang. Selain daripada itu, satu lagi kelainan jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain ialah kegiatan penyeludupan yang menjadi sumber pendapatan penduduk di sini. Sebahagian besar penduduk di sini tidak menganggap kegiatan ini sebagai satu kesalahan, malah ia dianggap sebagai satu mata pencarian. Guru baru yang ditempatkan di sini memerlukan masa untuk menyesuaikan dengan keadaan persekitaran sebegini dan guru lama di sini mungkin telah menerima aktiviti ini sebagai satu kenyataan. Maka, tidak mustahil sekiranya guru-guru yang ditempatkan di sini mengalami masalah tekanan kerja yang lebih berat dari tempat-tempat lain.
Berdasarkan punca-punca yang telah dihuraikan, didapati bahawa tekanan guru boleh mengakibatkan perasaan tidak selesa, emosi negatif seperti marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari aspek kerja mereka sebagai seorang guru. Dr. Sapora Sapian turut menerangkan dalam rencana beliau bahawa guru yang menghadapi tekanan tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya pendidikan yang bukan sahaja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu mendidik manusia agar menjadi masyarakat yang berguna. Justeru itu, tekanan kerja pada tahap yang tinggi biasanya akan membawa kepada ketidakpuasan kepada kerja, sikap suka mengelak serta pengabaian kerja.
Malah, guru yang tertekan akan melakukan apa sahaja untuk memastikan tekanan yang melanda mereka berakhir. Ini termasuklah melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang dan etika perguruan. Ponteng kerja adalah antara perkara serius yang dilakukan oleh individu-individu yang tertekan. Tindak balas penyesuaian tekanan oleh guru merangkumi tindakbalas psikologikal (keletihan dan kemurungan), fisiologikal (sakit kepala, tekanan darah tinggi) dan berkaitan sikap (pengambilan alkohol, merokok, gaya hidup dan masalah tidur). Selain itu juga, tekanan yang berpanjangan juga boleh melemahkan mental dan fizikal seseorang guru serta boleh membawa risiko ke atas kesihatan jika tidak menerima rawatan dengan sebaiknya.
Tekanan atau stres yang berterusan juga boleh menggugat emosi seseorang guru sehingga kadangkala bertindak di luar jangkaan. Misalnya seperti berita yang diulaskan oleh Dr. Sapora Sapian dalam rencana beliau, di mana seorang warden asrama mengarahkan ramai pelajar perempuan SMK Bawang Assan berendam di dalam kolam ikan kerana kesalahan seorang daripada mereka yang membuang tuala wanita di dalam mangkuk tandas asrama perempuan.
Ini jelas menyatakan bahawa tekanan kerja sememangnya akan mengganggu gaya hidup dan kesejahteraan hidup seseorang insan bergelar guru. Ini seterusnya akan mengganggu prestasi kerja dan outputnya dalam bidang pendidikan yang diceburinya. Perkara ini telah turut dibuktikan melalui pendedahan yang dibuat oleh akhbar (Berita Harian, 2011) iaitu seramai lima peratus daripada keseluruhan penjawat awam di Malaysia terlibat dalam kes ponteng kerja, di mana ada sesetengahnya tidak hadir ke tempat kerja selama tiga bulan. Tambahan pula, menurut laporan akhbar (Berita Harian, 2012) terdapat seorang guru di Perak yang tidak menghadirkan diri ke sekolah selama lebih dari 30 hari tanpa sebarang alasan yang kukuh. Akibat dari perlakuan tersebut, pihak Kementerian Pelajaran telah mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap guru terbabit termasuk memecatnya. Perkara ini dikhuatiri ada kaitannya dengan tekanan kerja yang dihadapi oleh guru seperti yang dinyatakan oleh Dr. Sapora Sapian dalam rencana beliau.
Guru yang ponteng kerja akan menyebabkan proses pembelajaran dan pentadbiran di sekolah terganggu untuk satu jangka masa yang panjang. Akibatnya, banyak perkara yang tidak boleh diselesaikan dengan segera seperti kegagalan menghabiskan silibus pengajaran dan kelewatan menganjurkan aktiviti-aktiviti kokurikulum. Selain itu, rancangan pengajaran yang telah ditetapkan juga tidak dapat diikuti lagi kerana telah tersasar dari perancangan asal menyebabkan perancangan yang baru perlu disusun semula. Akhirnya, pelajar-pelajar kelas terbabit juga akan menerima padah apabila mereka tidak mampu menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik terutamanya peperiksaan besar seperti UPSR, kesan daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang tidak lancar.
Oleh hal yang demikian, kebijaksanaanlah yang menentukan dan membezakan seseorang individu itu dengan individu yang lain. Seorang guru yang bijak pastinya akan sentiasa berfikiran positif dan mempunyai strategi dan kaedahnya yang tersendiri untuk mengatasi dan menangani masalah tekanan yang dihadapi oleh mereka. Berdasarkan kepada hasil kajian yang telah dijalankan, berikut dapatlah dikemukan beberapa cadangan yang berkaitan dengan pengurusan tekanan guru di sekolah. Cadangan-cadangan yang dikemukakan ini difikirkan sesuai untuk mengurangkan tekanan kerja warga pendidik secara amnya.
Salah satu langkahnya ialah berasaskan usaha seseorang guru itu sendiri, iaitu dengan melaksanakan dan menguruskan segala kerja dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan lebih sistematik dan tersusun. Guru yang bijak pastinya mampu merangka strategi yang tersusun agar segala tanggungjawab atau kerja yang diamanahkan dapat dilakukan atau disiapkan dengan sempurna mengikut tarikh yang ditetapkan selaras dengan etika pengurusan masa yang patut dimiliki oleh setiap guru. Budaya menangguhkan kerja dan bersikap sambil lewa ketika menjalankan tugas haruslah dielakkan bagi mengelakkan bebanan kerja yang berlambak pada satu-satu masa. Guru-guru juga boleh menolak tugas yang diberikan oleh pihak pentadbir mahupun rakan sejawat dengan cara yang baik dan berhemah sekiranya merasakan beban tugas yang ditanggung adalah amat berat dan membebankan.
Selain itu, para guru juga boleh menggunakan teknologi internet yang berkembang pesat pada masa kini untuk meluahkan perasaan dan menyatakan masalah yang dihadapi di dalam blog-blog atau forum-forum berkaitan guru bagi mendapatkan nasihat daripada guru-guru yang lebih berpengalaman berkaitan masalah yang dihadapi. Pastinya perbincangan yang bermutu di antara guru-guru baru dengan guru-guru berpengalaman akan menghasilkan impak atau keputusan yang positif bagi menangani masalah stres yang berlaku di kalangan guru-guru di sekolah.
Seterusnya, seseorang guru yang mengalami tekanan juga bolehlah mengambil pendekatan mengelakkan diri daripada individu-individu yang mengundang stres kepada mereka contohnya seperti mengelakkan diri daripada bercampur dengan rakan-rakan sejawat yang tidak sistematik dalam menjalankan tugas. Namun begitu, haruslah diingatkan bahawa guru-guru perlulah bertindak dengan bijak dalam apa jua tindakan yang dilakukan bagi mengelakkan diri daripada dituduh atau dianggap lari daripada menjalankan tugas.
Di samping itu, guru juga perlu melibatkan diri dalam aktiviti riadah, senaman yang berterusan dan melakukan latihan jasmani supaya dapat membantu melupakan tekanan yang dihadapi. Badan yang segar akan mempunyai otak yang cerdas.. Aktiviti bersukan selain membantu mengeluarkan peluh serta menjadikan badan kita sihat dan cergas juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan para guru dengan masyarakat. Aktiviti-aktiviti seperti berkelah atau bermain bola pada waktu petang atau hujung minggu bersama rakan sejawat lain sekolah pastinya akan menghasilkan perbincangan-perbincangan serta pertukaran idea yang sihat di antara guru-guru dan masyarakat di mana perkara ini pastinya akan membantu para guru untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik seterusnya mengurangkan tekanan yang dialami. Ini adalah selaras dengan amalan pemakanan guru juga perlu diberi panduan dan perhatian supaya bukan hanya murid-murid sahaja yang dijaga aspek jasmani, emosi, rohani dan inteleknya tetapi guru juga sepatutnya diberi pendedahan terhadap penjagaan aspek tersebut.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa profesion keguruan juga terdiri daripada komuniti berbeza kaum di mana setiap individu menganuti agama serta kepercayaan mengikut kaum masing-masing. Maka, seseorang guru juga bolehlah berusaha mendekatkan diri dengan penciptaNya bagi mengurangkan masalah tekanan yang dihadapi. Sebagai contoh para guru yang beragama Islam bolehlah memperbanyakkan membaca ayat-ayat suci al-Quran serta memperbanyakkan amalan zikir kerana kajian menunjukkan bahawa individu yang sentiasa mendekatkan diri dengan penciptaNya dapat menguruskan kehidupannya dengan lebih baik seterusnya mencapai kejayaan dalam setiap aspek kehidupan. Bagi guru-guru yang beragama lain pula, mereka juga boleh berdoa mengikut kepercayaan kaum masing-masing untuk mendapatkan ketenangan diri yang secara secara langsung dapat mengelakkan tekanan dalam diri seseorang guru.
Langkah seterusnya bagi menangani masalah tekanan di kalangan guru melibatkan peranan pihak pentadbir. Misalnya, pihak pentadbir menganjurkan program berkaitan pengurusan tekanan, sama ada dalam bentuk bengkel, kursus ataupun seminar perlu memasukkan strategi berlandaskan agama dalam kandungan atau agenda program. Seterusnya, mewujudkan suasana yang sihat dan harmoni iaitu perhubungan yang baik antara staf, keputusan yang diambil perlulah berdasarkan perbincangan, polisi sekolah yang lengkap dan teratur, guru-guru menerima tindak balas yang positif dan dihargai, pengurangan tugas-tugas pentadbiran sebarang tugas tambahan adalah berdasarkan kepada kemahiran guru tersebut, membina persekitaran kerja yang ceria dan kerjasama yang baik untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.
Melalui pendekatan organisasi pula, pentadbir tentu boleh menentukan pemilihan dan penempatan guru-guru. Perpindahan dan pertukaran guru-guru disokong sepenuhnya supaya guru-guru yang ingin bertukar tidak tertekan. Pengetua juga mestilah ubah suai tugas guru dan memberikan taklimat kerja yang mendalam terutama sekali sasaran matlamat. Sebarang keputusan dan perancangan sekolah mestilah dilibatkan kerjasama semua guru di sekolah. Proses menerima dan menapis pendapat dan pandangan guru mungkin terlalu lambat, tetapi ia lebih mudah untuk diterima. Sehubungan itu juga, pentadbir perlu mengubah gaya pentadbiran bersifat autokratik kepada gaya pentadbiran yang lebih mengutamakan pendekatan humanistik atau demokratik.
Kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa kerjaya dan tugas seorang guru itu adalah amat berat. Tugas dan tanggungjawab guru pada masa yang serba canggih dan mencabar ini bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan malah gurulah yang menjadi penjana dan nadi kepada kecemerlangan generasi yang akan datang. Secara mudahnya, tekanan-tekanan yang dialami oleh guru tidak boleh dipandang remeh kerana ianya boleh membawa kesan yang jauh lebih dahsyat kepada kemajuan pendidikan negara amnya dan kepada pembangunan pelajar khasnya kerana mereka bakal menjadi pemimpin pada masa depan. Ternyata, tekanan kerja sememangnya akan mengganggu gaya hidup dan kesejahteraan hidup seseorang insan bergelar guru. Ini seterusnya akan mengganggu prestasi kerja dan outputnya dalam bidang pendidikan yang diceburinya.
Oleh yang demikian, setiap individu yang bergelar guru juga perlulah sentiasa mempersiapkan diri dengan sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan yang ada mengikut perubahan semasa. Selain itu, seorang guru juga perlulah bijak menangani dan menguruskan setiap bebanan dan masalah yang dihadapi di alam pekerjaan dengan bijaksana agar setiap permasalahan dan bebanan tersebut tidak mengundang kepada masalah tekanan atau stres. Akhir kata, ingatlah bahawa setiap permasalahan itu pasti ada jalan penyelesaiannya. Begitu juga dengan masalah tekanan atau stres yang dialami oleh guru-guru pada masa kini, walaupun kadangkala penyelesaian itu memerlukan pengorbanan. Dalam pada itu, setiap pihak juga harus memberi sokongan dan membantu mengurangkan beban stres yang dihadapi oleh guru ini.



(Sumber artikel : Utusan Malaysia Online, 23/7/2007, Artikel “Pendidik Mesti Bijak Kawal Emosi”)
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm







ISU : GURU PONTENG


1.0 Pengenalan

Dalam era globalisasi masa kini, seseorang yang ingin berjaya dalam apa jua bidang perlulah mempunyai ciri-ciri berdisiplin, bertanggungjawab, amanah, ikhlas dan nilai-nilai murni. Nilai-nilai murni ini akan membentuk etika seseorang individu tersebut.
Mengikut Kamus Dewan (1995), etika bermaksud sastu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Pengertian dari sudut Islam pula membawa maksud etika adalah akhlak. Manakala dalam konteks pekerjaan, merujuk kepada tingkah laku baik sewaktu menjalankan setiap amanah yang dituntut oleh syarak (Syed Ismail bin Syed Mustapa, 2010).
Profesion pula bermaksud pekerjaan terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan yang khas misalnya dalam bidang undang-undang, senibina, perubatan, perakaunan dan lain-lain. ‘keguruan’ pula membawa maksud tugas dan tanggungjawab (kerjaya) sebagai guru. Kesimpulannya, etika guru dalam pendidikan ini adalah sangat penting. Etika pelajar yang diajar oleh seorang guru yang tidak bersahsiah mencerminkan diri seorang guru yang tidak beretika. Guru yang baik dan beretika akan melahirkan generasi yang baik dan berjaya. 
Profesion perguruan dianggap mulia oleh masyarakat kerana guru adalah agen perubahan yang membantu mencorak anak bangsa. Namun begitu, mutakhir ini, isu etika guru semakin menjadi topik hangat yang kian menghiasi dada-dada akhbar dan juga media massa lain. Profesion perguruan hari ini dilihat semakin goyah kerana ada segelintir golongan guru yang melanggar kod etika keguruan yang telah sedia termaktub. Terdapat pelbagai jenis salahlaku yang dilakukan oleh guru yang mana bukan hanya melanggar etika profesion perguruan tetapi juga telah terlibat dengan akta jenayah negara. Hal ini sudah tentu akan mencemarkan martabat profesion perguruan sebagai satu profesion yang mulia pada pandangan masyarakat. 


2.0 Isu Guru Ponteng
Isu guru ponteng merupakan salah satu isu yang semakin menjadi perhatian banyak pihak apabila bilangan kes guru ponteng dilaporkan semakin meningkat dari hari ke hari. Keratan akhbar di atas dipetik daripada sebuah akhbar tempatan terkemuka, Berita Harian bertarikh 27 Jun 2010 yang melaporkan bahawa kes salah laku guru terutama guru ponteng semakin meningkat dan perlu dipandang serius oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Dalam satu artikel lain pula melaporkan bahawa hasil pemantauan dan pemeriksaan pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) negeri Sabah pada 22 Februari 2010, mendapati seramai 117 guru dari 11 sekolah tidak hadir bertugas, manakala pada 25 Mei 2010 pula seramai 157 guru dari 14 sekolah juga tidak hadir bertugas. Bilangan ini semakin meningkat dari hari ke hari. 

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran kepada para guru yang ponteng mengajar bahawa mereka yang melakukan demikian akan dikenakan tindakan disiplin (Berita Harian, 2010). Guru yang ponteng kerja dianggap telah melanggar peraturan dan etika kerja seorang guru. 


3.0 Analisis Isu Guru Ponteng

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), ponteng dari segi bahasa boleh didefinisikan sebagai kecoh, tipu, lari daripada tugas yakni tanggungjawab dan lain-lain. Manakala ponteng dari segi istilah merujuk kepada tidak hadir bertugas tanpa sebarang surat akuan sakit mahupun apa-apa sebab yang munasabah. Menurut Cascio (2005), ketidakhadiran bermaksud apa-apa sahaja kegagalan seseorang pekerja daripada melaporkan diri ataupun tidak berada di tempat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan atas apa alasan sekalipun. Ini menunjukkan apabila seseorang pekerja itu tidak datang ke pejabat pada waktu bekerja maka mereka dianggap sebagai tidak hadir. Sekiranya seseorang pekerja tidak hadir tanpa sebarang sebab yang munasabah, ianya boleh dianggap sebagai ponteng kerja.
Oleh itu, guru ponteng bermaksud guru yang lari daripada melakukan tugas yang diamanahkan kepada mereka, sama ada tugas utama iaitu mengajar atau tugas-tugas sampingan seperti hadir mesyuarat, melaksanakan program dan sebagainya. Kebiasaannya, faktor utama yang menyebabkan berlakunya masalah ponteng ini ialah faktor sikap guru itu sendiri. 

JENIS-JENIS PONTENG
Ponteng boleh dikategorikan dalam beberapa jenis, iaitu ponteng sekolah, ponteng kelas dan ponteng tugasan. Kesemua jenis ponteng ini memberi kesan negatif kepada murid dan sekolah.


a) Ponteng sekolah 
Ponteng sekolah bermaksud guru tidak hadir bertugas ke sekolah tanpa sebab atau dengan sebab yang tidak munasabah. Ponteng jenis ini memberi kesan yang sangat besar kepada pembangunan dan pencapaian sesebuah sekolah dan muridnya. Antara alasan-alasan yang sering diguna oleh guru ialah kurang sihat dan anak kurang sihat. Guru juga ponteng sekolah dengan pulang ke kampung lebih awal terutamanya ketika musim cuti sekolah dan musim-musim perayaan dengan pelbagai alasan yang kurang logik. 
b) Ponteng kelas
Ponteng kelas pula bermaksud guru tidak masuk mengajar ke kelas atau lewat wasuk ke dalam kelas dengan sengaja atau keluar lebih awal sebelum masa pengajaran dan pembelajaran tamat tanpa alasan yang munasabah. Sikap guru yang lebih suka melepak di kantin sekolah, berbual atau bersembang kosong dengan rakan, melayari facebook dan sebagainya. Guru bermasalah ini menjadikan aktiviti-aktiviti sampingan  lebih penting berbanding mengajar di dalam bilik darjah. Ponteng jenis ini memberi kesan yang amat besar kepada pencapaian murid dalam akademik.
c) Ponteng tugasan
Ponteng tugasan ialah tidak melaksanakan arahan yang diberikan oleh pihak pentadbir sekolah. Contohnya guru tidak menghadirkan diri dalam sesi mesyuarat yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah, tidak menghadirkan diri semasa aktiviti atau kegiatan ko-kurikulum dijalankan, tidak menyertai program yang dilaksanakan di sekolah tanpa alasan yang munasabah dan kukuh, tidak menyiapkan kerja dan sebagainya. Ponteng jenis ini menyebabkan kelancaran sesuatu program yang dijalankan oleh pihak sekolah akan terbantut. 



FAKTOR-FAKTOR PONTENG
Dalam mengkaji isu ponteng yang dilakukan oleh guru, terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti yang memungkinkan guru-guru mengambil jalan mudah untuk ponteng. Hal ini merangkumi aspek dalaman dan luaran.

i) Faktor Dalaman

a) Longgar Pegangan Agama. 
Kurangnya penghayatan dalam memahami konteks tugas sebagai ibadah yang dianjurkan oleh Islam menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada isu guru ponteng. Islam mengutamakan niat yang ikhlas dan amanah dalam melakukan apa sahaja pekerjaan kerana kerja itu merupakan satu ibadah iaitu jika dibuat dengan bersungguh-sungguh, ikhlas, jujur dan amanah akan mendapat ganjaran berupa pahala. Namun begitu masih ramai guru yang kurang memahami erti ibadah dalam pekerjaan menjadikan kebanyakannya mengambil sambil lewa akan hal ini. Ada sebilangan guru menganggap ponteng adalah perkara biasa dan tidak berkait dengan pahala dan dosa. Walhal guru perlu menjadikan pekerjaan sebagai satu sumber yang halal untuk dinikmati oleh anak-anak dan ahli keluarga.

b) Kurang motivasi intrinsik guru. 
Guru terbeban dengan hal-hal persekitaran yang mungkin menyebabkan guru dibelenggu rasa kecewa kurang motivasi, lemah semangat, dihimpit bebanan sehinggakan guru merasa tertekan, depresi, kurang minat mengajar dan sebagainya. Tanpa motivasi diri, seseorang guru itu akan mendapat kesan yang tidak disedari seperti hilang fokus, tiada matlamat yang jelas, hilang minat dan luntur komitmen dalaman (Pendidik, September 2010).
c) Gangguan emosi.
Emosi yang tidak stabil akan menyebabkan kemurungan. Kemurungan yang melampau boleh memberi kesan negatif dalam kehidupan sehingga membawa kepada gejala yang tidak sihat kepada tubuh badan dan pemikiran. Selain itu juga kemurungan boleh menyebabkan  seseorang bertindak mengasingkan diri dari kelompok rakan dan masyarakat (Pendidik, April 2010). Gangguan emosi ini terhasil apabila guru-guru tidak mencapai keperluan peribadi. Misalnya seorang guru mempunyai sasaran terhadap keputusan markah murid-murid dalam peperiksaan. Apabila telah berulang kali keputusan yang diharapkan tidak memenuhi sasaran yang diharapkan, guru akan merasa kecewa, rasa putus dan akhirnya menganggu kerja-kerja guru yang lain. Penambahan masalah akhirnya guru mengambil jalan untuk ponteng kelas, dan ponteng kerja.

ii) Faktor Luaran

a) Tekanan beban kerja
Kyriacou & Sutcliffe, (1978) menyatakan bahawa tekanan guru boleh ditakrifkan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif seperti marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari aspek kerja mereka sebagai seorang guru. Dalam situasi ini, guru yang menghadapi tekanan kerana beban kerja adalah guru yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan dan perubahan budaya pendidikan semasa yang mengkehendaki tugasan guru itu lebih meluas bukan setakat mengajar di kelas. Rata-rata guru pada masa sekarang ini terbeban dengan kehendak tugasan yang melampaui keupayaan individu itu. Misalnya tugas pengkeranian, persediaan alat bantu mengajar, penglibatan di dalam kursus atau program dan seumpamanya. Jika difikirkan melalui satu pandangan, ya, guru pada masa sekarang sangat terbeban dengan tanggungjawab yang pelbagai. Namun begitu, sebagai seorang pendidik, seorang guru perlulah mempunyai jiwa yang besar untuk menghadapi pelbagai tekanan atau tanggungjawab yang menanti untuk dilaksanakan. Hal ini demikian kerana jika semua guru mampu untuk berfikiran positif sewaktu menjalankan tugasan yang diberi dan menganggap tugasan tersebut adalah untuk kepentingan anak bangsa, semestinya suasan dan persekitaran yang tercipta adalah amat menyeronokkan dan tiada lagi tekanan yang boleh memungkinkan seseorang guru itu menjadikan alasan untuk ponteng. 

b) Murid yang tidak menghormati guru
Perubahan demi perubahan dalam arus kemodenan menjadikan murid-murid pada era ini kurang perasaan ingin menghargai mahupun menghormati guru. Saban hari banyak kes berkenaan murid melakukan tindakan salah laku terhadap guru dilaporkan di media massa. Sambutan Hari Guru saban tahun semakin hambar dan tidak terkesan di dalam sanubari murid-murid. Tiada  lagi ucapan penghargaan kepada guru yang diterima oleh murid. Mereka leka dengan aktiviti persekitaran tanpa menghargai perasaan guru yang selama ini mencurahkan khidmat bakti menjadikan mereka modal insan yang akan menentukan corak kepimpinan negara pada masa akan datang. Murid tidak lagi menjadikan guru sebagai role model mereka tetapi lebih memilih artis-artis barat dan tempatan sebagai ikutan mereka. Guru yang bersemangat mendidik anak bangsa seringkali dikejutkan dengan tindakan murid yang diluar jangkaan seperti memancitkan dan menconteng kereta guru, memandang sinis guru, tidak menyiapkan kerja sekolah yang diarahkan, tidak mematuhi arahan, melanggar disiplin sekolah dan sebagainya. Bagi golongan guru yang tidak mempunyai kekuatan emosi mereka lebih mudah memilih jalan ponteng sebagai penyelesaian kepada permasalahan yang mereka hadapi.




c) Kurang galakan dan pemantauan dari pentadbir
Faktor ini juga amat penting dalam menjadikan pekerjaan guru sebagai satu profesion yang berjaya. Pentadbir yang perihatin selalu mengambil berat akan masalah kakitangan bawahan. Bukan bermaksud untuk mencampuri urusan guru berkenaan, tetapi lebih kepada mengelakkan masalah guru menjadi lebih berat sehingga boleh mengganggu tugas-tugas mereka di sekolah. Pentadbir juga perlu mengambil tindakan serta merta kepada guru yang sering ponteng. Ini kerana ditakuti gejala ini akan diikuti oleh guru-guru lain apabila mendapati pihak pentadbir terutamanya Guru Besar tidak mengambil tindakan kepada guru yang melakukan kesalahan.

d) Jarak sekolah dan keadaan persekitaraan 
Keadaan ini biasanya merujuk kepada di mana guru itu mengajar. Bagi guru  yang mengajar di luar bandar, dan di pulau-pulau guru lebih terdedah untuk ponteng sekolah memandangkan kurangnya lawatan dari pihak atasan dan nazir. Guru mengambil cuti lebih awal dari masa yang ditetapkan untuk tujuan tertentu seperti pulang untuk sambutan perayaan dan cuti persekolahan. Hal ini telah disahkan apabila Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Dr Muhiddin bin Yussin berkata, perkara itu dikenalpasti hasil lawatan jemaah nazir sekolah dari Kementerian Pelajaran ke sekolah-sekolah baru-baru ini (Berita Harian). Lain pula halnya apabila guru tersebut mengajar di kawasan bandar. Guru akan keluar pada sesi persekolahan untuk memenuhi keperluan peribadi dan keluarga. Contohnya guru akan keluar untuk membeli barang-barang dapur, keperluan anak-anak, keperluan peribadi, mengambil wang gaji pada sesi persekolahan berjalan. Guru akan keluar apabila mempunyai masa terluang terutamanya rehat dan tidak ada kelas dalam jadual. Namun  guru tidak sedar sebenarnya mereka juga dikategorikan sebagai ponteng kerana tidak berada di kawasan persekolahan pada sesi persekolahan berjalan demi untuk memenuhi keperluan peribadi.

e) Pengaruh rakan-rakan
Pengaruh rakan sejawat dan rakan sekeliling juga mempengaruhi isu ponteng guru. Ini kerana guru baru contohnya akan mudah terpengaruh dengan sifat rakan guru yang malas, membuat kerja sambil lewa dan sering ponteng. Besar kemungkinan ponteng telah menjadi kebiasaan kepada guru-guru disekelilingnya dan ini menjadikan guru tersebut terikut-ikut dan terbawa-bawa dengan sahsiah negatif  guru lain lebih-lebih lagi jika pihak pentadbir sekolah tersebut tidak menangani isu ponteng  ini dengan tegas.

f) Penyalahgunaan dadah
Penyalahgunaan dadah merupakan salah satu penyebab utama berlakunya masalah ponteng di kalangan guru. Guru yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah akan hilang kawalan diri dan tidak mampu untuk berfikiran dengan waras. Mereka ini telah hanyut dalam dunia mereka sendiri dan telah hilang matlamat sebenar kehidupan. Spiritual mereka amat lemah, manakala emosi mereka sukar dikawal dan mudah tertekan. Apabila seseorang guru telah terlibat dengan penyalahgunaan dadah, mereka akan lebih mudah dihimpit dengan pelbagai masalah lain, contohnya kewangan, ponteng kerja, masalah keluarga, tindakan undang-undang dan sebagainya. 

LANGKAH-LANGKAH PENYELESAIAN

a) Pihak Pentadbir
Perbincangan - Pelbagai langkah yang boleh diambil oleh pihak pentadbir bagi mengelakkan masalah ponteng  ini dari terus berlarutan dan menjadi ikutan kepada guru-guru lain. Pihak pentadbir perlu mengadakan perbincangan dengan guru yang bermasalah iaitu guru yang sering ponteng. Ini bertujuan mengkaji dan mengetahui mengapa guru mengambil tindakan sedemikian sehingga mengabaikan tanggungjawab dan peranan mereka di sekolah. Pihak pentadbir perlu bersemuka dan mendekatkan diri kepada guru-guru ini bagi mengetahui punca masalah ini berlaku. Nasihat, dan motivasi diperlukan agar perkara seperti ini tidak akan berulang dikemudian hari.
Surat Tunjuk Sebab – Jika perbincangan telah pun dijalankan dan perkara ini masih tetap berulang, pihak pentadbir akan mengeluarkan surat tunjuk sebab dan surat amaran bagi memberi  amaran kepada guru tersebut. Surat tunjuk sebab ini menunjukkan bahawa pihak pentadbir amat memandang berat akan isu ponteng ini. Dalam sesetengah kes, guru yang ponteng akan kembali bertugas setelah mendapat surat tersebut.
Merujuk Kepada Lembaga Tatatertib - Namun demikin jika perkara ini masih berlanjutan, pihak pentadbir iaitu Guru Besar mempunyai kuasa merujuk guru bermasalah tersebut kepada lembaga tatatertib selaras dengan Peraturan 25(1)  yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 Bahagian III.
b) Pihak Guru
Kembali Kepada Pegangan Agama – Dengan mendalami ilmu agama, seseorang guru itu akan sedar peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan perlu dilaksanankan dengan sebaik yang mungkin dan berusaha untuk menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas.
Memotivasikan diri sendiri / Mengubah sikap – Apabila guru berasa tidak lagi bersemangat mengajar sehingga hilang fokus, dan tidak berupaya menjalankan tugas kerana menghadapi masalah tertentu, maka amat penting bagi seorang guru mempunyai kekuatan dalaman yang kuat untuk membantu menaikkan semangat diri bagi menghadapi masalah tertentu.
Menghadiri sesi kaunseling secara sukarela – Seandainya jika masalah yang dihadapi masih berpanjangan, adalah lebih baik guru tersebut menghadiri sesi kaunseling dalam mencari jalan keluar yang terbaik 

4.0 Rumusan / Kesimpulan

Sebagai satu rumusan kepada analisis mengenai masalah tingkah laku guru terutama isu guru ponteng ini, tidak dapat dinafikan bahawa setiap guru itu juga merupakan insan biasa yang mengalami masalah seperti individu lain. Kebiasaannya apabila berlaku isu-isu seperti ini, banyak pihak menuding jari ke arah diri guru menyebabkan individu yang bernama guru ini terpaksa menghadapi pelbagai tohmahan yang seterusnya memberi impak negatif kepada profesion perguruan itu sendiri.
Justeru, pihak guru perlu sentiasa sedar dan berfikiran positif bahawa tugasan yang dipikul di bahu mereka bukan semata-mata untuk meraih gaji bulanan mahupun pangkat yang tinggi, tetapi adalah penggerak utama dalam memercu generasi bangsa yang bersahsiah tinggi dan berakhlak mulia. Jadi, jika seseorang guru itu menunjukkan contoh yang tidak baik dan mengundang pandangan negatif daripada pihak lain, tidak mustahil anak bangsa akan datang akan menunjukkan corak yang sedemikian juga kerana guru itu merupakan role model  terutama bagi anak-anak muridnya. 
Banyak implikasi negatif yang akan diterima sekiranya isu guru ponteng ini kian berterusan. Antaranya ialah keciciran murid dalam pelajaran, penurunan prestasi murid dalam peperiksaan, masalah disiplin murid yang kian meruncing, imej sekolah tercalar, pandangan negatif terhadap profesion perguruan dan akhir sekali pastinya akan memberi impak kepada negara apabila sekelompok manusia yang diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa telah melakukan salah laku menyeleweng tugas mereka. 
Oleh yang demikian, sebagai penutup, setiap pihak perlu sentiasa peka dan cakna dengan isu ini. 





Sunday, September 2, 2012

Saranan Berpolitik; Mampukah guru imbangi masa??






1.0  Pengenalan

Guru merupakan tenaga pengajar dalam sesebuah institusi pendidikan seperti sekolah atau tuisyen (kelas bimbingan). Guru juga dikenali sebagai pengajar, pendidik, Mudaris, lau see, vathiyar, mualim, muryid, dan sebagainya dalam pelbagai bahasa yang terdapat di dalam dunia ini. Pada zaman ambang transformasi ini, guru juga merupakan istilah yang digunakan untuk seorang pakar dalam sesuatu bidang  misalnya “management guru” merujuk kepada seorang yang pakar dan handal dalam bidang pengurusan. Di peringkat universiti pula, guru diberikan gelaran tutor atau pensyarah. Lazimnya guru perlu mahir dalam sesuatu mata pelajaran serta diperkukuhkan pula dengan pengetahuan dalam bidang pedagogi atau sains prinsip pengajaran. Dari segi agama pula, misalnya agama Hindu dan Sikh, guru mempunyai maksud yang lebih tinggi. Ia juga biasanya merujuk kepada para pendita yang mempunyai ilmu mendalam dalam hal-hal kerohanian.
  
      Keguruan adalah sebuah profesion yang tertua di dunia dan kini memasuki satu lagi era baru. Peranan guru pada masa dahulu hanya tertumpu sebagai penyampai ilmu sahaja. Namun, dalam sistem pendidikan pada masa kini guru lebih banyak berperanan sebagai pemudah cara yang berpengetahuan dan seharusnya lebih bersedia dan peka dalam melahirkan dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Selaras dengan perubahan peranan pendidik, guru haruslah lebih inovatif, kreatif, dan efektif dalam penyampaiannya serta sentiasa memikirkan pendekatan baru untuk mengadaptasikan amalan mereka dengan kehendak pelajar sebagai ‘ knowledge worker’ dalam era revolusi maklumat pada abad ke-21ini.

      Guru dalam alaf baru ini, seharusnya professional dan profesionalismenya ialah kata kunci kepada peningkatan kualiti (Jemaah Nazir,2001). Peningkatan kualiti yang dimaksudkan merujuk kepada kualiti proses dan yang lebih penting lagi ialah kualiti produk (output). Keadaan ini menunjukkan, sumber manusia (modal insan) perlu dibangunkan secara bersepadu melalui latihan-latihan bagi memastikan setiap individu dapat mengembangkan potensi ke tahap yang maksimum atau optimum. Program-program pembangunan profesinal sudah tentu dapat mengupayakan guru demi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Walaubagaimanapun, guru-guru pada masa kini berdepan dengan masalah dengan pelbagai isu yang perlu ditangani oleh mereka dengan sikap professional dan terbuka. Persoalan seperti sikap guru, kesantunan guru, kerja sambilan yang dilaksanakan oleh guru, berniaga di sekolah, menyertai dalam politik kini menjadi isu yang perlu ditangani dengan berhemah supaya kerjaya ini tidak terus terpesong daripada landasan yang sepatutnya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa guru juga memerlukan kehidupan yang berkualiti, namun konsep kualiti ini tidaklah memenuhi matlamat pendidikan sebenarnya kerana kebendaan dan kemewahan semata-mata tidak menjamin kehidupan yang sejahtera dan sesuai dengan fitrah insaniah. Oleh itu, guru sebagai insan yang terlatih perlulah bijak mencari pengertian kualiti hidup yang lebih lengkap. Tugasan ini akan membicarakan tentang masalah yang dihadapi oleh guru apabila mereka melanggari etika keguruan dalam kehidupan seharian mereka.












2.0 Isu Yang Dikaji “Saraan berpolitik mampukah guru imbang masa”
      Saya telah memilih sebuah artikel yang diambil dari majalah pendidik keluaran September 2009 sebagai artikel pilihan saya untuk mengkaji, menganalisis serta mengupaskan isu yang terdapat di dalam artikel ini secara terperinci. Artikel yang dipilih oleh saya ini adalah mengenai sasaran guru berpolitik ketika masih manjawat jawatan sebagai penjawat Kumpulan A di dalam kerajaan. Saya akan mengulas secara terperinci tentang isu-isu yang dibincangkan dalam artikel di dalam kerja kursus projek ini.

      Pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2009 yang lalu, bekas Menteri Pelajaran Malaysia iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hessein ketika menyampaikan ucapan penggulungannya sebagai Naib Presiden UMNO yang baru melontarkan sasaran supaya golongan pendidik terutamanya guru dalam Kumpulan A diberikan kebenaran untuk terbabit dalam aktiviti politik serta memegang jawatan dalam parti politik tersebut. Beliau juga telah menerangkan tujuan beliau menentukan hasrat tersebut. Tujuannya adalah kerana kepakaran golongan itu dapat digembleng dan dimanfaatkan bagi memantapkan lagi parti kerana beliau amat mengiktiraf sumbangan seseorang guru bukan sahaja dalam bidang pendidikan sahaja malah peranan yang mereka mainkan dalam perjuangan politik tempatan sejak negara merdeka.

      Alasan atau tujuan yang menguatkan lagi cadangan tersebut adalah Datuk Seri Hishamuddin Hussein yakin tindakan tersebut dapat memimpin semula anak muda yang terdiri daripada guru lepasan universiti untuk mewarisi pergerakan politik pada masa akan datang. Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan jumlah keahlian anggota sesebuah parti. Guru muda lepasan univerisiti dalam dan luar negara katanya, memiliki kelulusan professional yang dapat dioptimumkan bagi memperkasakan sesebuah parti selain memberi nafas baru dengan cetusan idea yang bernas untuk dimanfaatkan oleh semua pihak. Namun begitu, beliau juga menambah bahawa cadangan ini hanya akan diaplikasikan dengan syarat iaitu guru dilarang untuk menyebarkan dakyah atau fahaman politik di sekolah kerana tanggungjawab seseorang guru adalah untuk mengajar dan menyampaikan ilmu.

      Datuk Seri Hishamuddin juga melahirkan kebimbangannya dengan mengatakan profesionalisme, kesungguhan, dan sumbangan golongan pendidik ini diberikan ruang pada peringkat parti politik dan hala tuju kita untuk mendampingi rakyat akan terjejas kerana guru atau golongan pendidik ini menjadi mata serta telinga kepada masyarakat. Landskap politik negara yang baru ini menuntut kita untuk mendengar aspirasi, harapan serta pandangan orang ramai pada peringkat akar umbi bagi membolehkan perkhidmatan yang lebih baik diberikan kepada masyarakat.
     
Sebelum idea ini diutarakan. Pegawai kerajaan Kumpulan A atau Pengurusan  tidak boleh mengambil bahagian secara aktif dalam politik seperti berkempen, sama ada pada waktu pejabat mahupun di luar waktu pejabat. Guru bukan siswazah pula dibenarkan bergiat aktif dalam politik mengikut Perintah Am ditetapkan dengan syarat mereka mendapat kebenaran ketua jabatan masing-masing. Arahan di atas adalah syarat yang perlu ditepati mengikut Perintah Am Peraturan-Peraturan Pengawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 P U (A) 246 yang berkuat kuasa pada Jun 2002. Pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional juga dilarang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

      Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pula memberitahu bahawa beliau juga bersetuju dengan keputusan yang diambil oleh kabinet iaitu membenarkan guru-guru sekolah untuk menyertai politik. Beliau menambah bahawa sudah tentu pihak kabinet mengambil kira pandangan beberapa perkara sebelum ia dapat dilaksanakan termasuk dari sudut golongan pendidik. Guru juga merupakan golongan yang paling rapat dengan masyarakat dan sentiasa berdamping dengan pelajar serta mendapat tahu masalah yang dihadapi oleh masyarakat melalui para pelajarnya. Senorio ini menunjukkan golongan pendidik ini lebih senang mengetahui masalah yang dihadapi oleh masyarakat sekelilinginya dan juga dapat menyelesaikannya dengan cepat.

      Pendapat lain tentang isu guru boleh berpolitik ini telah diutarakan oleh Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Peng. Beliau telah melahirkan pendapatnya iaitu hanya golongan pendidik Gred 41 hingga Gred 48 sahaja dibenarkan mereka untuk berpolitik manakala golongan pendidik yang berada pada Gred 48 ke atas perlu menumpukan kepada pelaksanaan pembangunan pendidikan. Beliau juga turut menyokong sasaran Kabinet untuk membenarkan golongan guru berpolitik. Beliau juga turut menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk memberikan kebebasan berpolitik kepada golongan guru kerana ramai di golongan guru ini berpengetahuan serta mempunyai pemikiran kritis. Mereka juga boleh memberikan sumbangan yang besar kepada sistem pendidikan negara.

      Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamas Ali Hasan menyatakan persetujuannya dengan cadangan kabinet ini adalah hanya 50% sahaja. Beliau mengatakan cadangan ini menpunyai kelebihan dan kelemahannya yang tersendiri. Beliau berkata guru juga berhak untuk mengembangkan bakat yang dimiliki oleh mereka. Golongan pendidik ini selain membentuk anak bangsa, kebolehan mereka juga perlulah dioptimumkan sepenuhnya dalam menjana generasi pemimpin pelapis. Prof Madya juga menambah bahawa tugas sebagai pendidik di sekolah berjaya mengasah bakat guru untuk mejadi seorang pemimpin di peringkat yang lebih besar dengan menyatupadukan masyarakat. Beliau menambah bahawa golongan guru adalah golongan yang berwibawa serta mempunyai kebolehan untuk mengetuai program-program kemasyarakatan. Namun, beliau juga mengingat golongan guru supaya melaksanakan tugasan yang diberikan kepadanya dengan amanah serta bertanggungjawab. Golongan ini juga tidak bolehlah mencampuradukkan tugas mengajar mereka dengan menyebarkan fahaman politik kepada para pelajarnya. Menurut beliau, guru tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik jika menyertai politik. Hal ini kerana guru terpaksa menghadiri mesyuarat-mesyuarat tentang partinya pada waktu bekerja dan menyebabkan guru tersebut tidak dapat menjalankan tugasnya sebagai seorang guru dengan baik. Tugasnya seperti mengajar serta menjaga kebajikan pelajar akan tergendala. Pengurusan masanya untuk berpolitik serta mengajar di sekolah tidak dapat diimbangi dengan baik. Beliau mengatakan bahawa guru juga akan kelihatan letih di sekolah apabila beliau bergiat cergas dalam bidang politik pada waktu malam sahaja. Keadaan ini juga menyebabkan beliau tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Oleh itu, pengurusan masa adalah sangat penting sekiranya seseorang guru itu ingin terlibat dalam politik.

      Terdapat juga orang membantah saraan guru boleh berpolitik ini. Tokoh pendidikan iaitu Tan Sri Arshad Ayub adalah antara orang tidak menyokong serta membantah saraan guru boleh berpolitik ini. Beliau telah memberitahu bahawa peranan guru pada zaman pascamerdeka dengan pramerdeka adalah berlainan dan sudah banyak berubah. Beliau berkata pada era politik pascamerdeka, golongan berpendidikan tinggi dalam pelbagai jurusan perlulah dioptimumkan tenaga, pengetahuan serta kebolehan mereka dalam memimpin masyarakat. Manakala senario politik pramerdeka lebih kepada usaha mendapatkan kemerdekaan serta politik pada masa itu menjurus kepada kelangsungan perjuangannya serta survival. Tan Sri Arshad Ayub juga mengatakan bahawa tugas guru-guru pada masa kini tidak boleh diganggu kerana tanggungjawab mereka semakin mencabar berikutan ledakan maklumat menerusi teknologi maklumat dan komunikasi dalam pelbagai medium lain. Semua perubahan ini menuntut guru lebih bersedia berdepan dengan pelbagai kerenah pelajar selain memastikan masalah displin dapat dikurangkan. Beliau menambah bahawa sekiranya guru terlibat dalam politik maka guru tidak dapat meluangkan masa yang sepenuhnya kepada sekolah dan murid-muridnya.


3.0 Analisis Isu Yang Dikaji “Saraan berpolitik mampukah guru imbang masa”
      Peranan dan akuantabiliti seseorang guru sememangnya memberikan impak yang besar yang mendalam dalam diri setiap orang murid. Seseorang guru memainkan peranan yang amat signifikan dalam hidup seseorang  individu, sejaklah dia kecil hinggalah menjawat jawatan yang hebat dalam kehidupan sehariannya. Golongan pendidik ini mendidik anak muridnya untuk menjadi seorang insan yang berjaya bukan sahaja dari segi lahiriah malah rohaniah juga. Namun begitu, dunia hari ini semakin maju dan bergerak pantas. Peranan dan tanggungjawab yang digalas oleh guru pada hari ini semakin mencabar seiring dengan kehendak kerajaan dan masyarakat. Perkembangan semasa menjadikan profesion keguruan turut menerima tempiasnya.

      Para ibu bapa mengharapkan sekolah dan guru dapat meningkatkan kepercayaan kepada Tuhan dan dalam diri murid itu sendiri. Perkara ini menjadi lebih dan kritikal dalam kehidupan kita dalam era globalisasi ini. Maksudnya, kehidupan yang terlalu bersifat materialistik, teknologi, kemewahan dan hiburan boleh menjejaskan keinginan manusia kepada Tuhan. Keadaan kekosongan inilah guru boleh membina kekuatan dalaman iaitu kerohanian menerusi aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kerohanian yang mantap dan suci akan membina intelek yang sihat, emosi yang stabil dan jasmani yang sejahtera. Kerohanian dan keseimbangan potensi rohani, intelek, emosi dan jasmani akan menyubur dan meningkatkan kepercayaan murid kepada Tuhan. Pembinaan kekuatan dalaman ini mudah dilaksanakan jika guru menjalankan tugasnya sebagai ibadah dan matlamat membangunkan insan.

      Setiap manusia inginkan hidup yang berkualiti dan ia biasanya dikaitkan dengan kejayaan mencapai prestasi hidup yang tinggi dan diiktiraf oleh masyarakat. Kualiti hidup bermaksud kejayaan memperoleh status yang tinggi, kemewahan, dan kebendaan. Sebagai manusia biasa, seseorang guru turut akan merasakan desakan dan tekanan hidup yang sedemikian. Mereka juga memerlukan kehidupan sebagaimana yang dikecapi oleh orang lain. Situasi sebeginilah yang menyebabkan kerjaya ini kini digemparkan dengan kepelbagaian isu yang mendapat perhatian masyarakat. Guru pada masa kini berhadapan dengan pelbagai isu yang perlu ditangani dengan sikap profesonal dan terbuka. Isu-isu yang dihadapi oleh  golongan guru ini adalah negatif dan bercanggahan dengan etika keguru seseorang guru.

      Istilah “etika” atau ethic adalah berasal daripada perkataan greek iaitu “ethos” yang bermaksud perwatakan atau keperibadian. Mengikut Kamus Dewan (1995) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka etika bermaksud satu sistem dasar akhlak adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Menurut pengertian dari sudut Islam pula, etika adalah akhlak dan ianya merujuk kepada tingkah laku yang baik yang dituntut oleh syarak. Menurut sarjana barat iaitu J.L Mackie beliau mendefinisikan etika sebagai displin yang dapat menerangkan nilai baik dan buruk tentang sesuatu perbuatan serta menyediakan garis-garis perbezaan antara kebaikan dan keburukan seseorang. Menurut A.R Licey dan W.L Reese pula, mereka mendefinasikan etika sebagai kegiatan aktiviti praktikal yang melibatkan tingkah laku, adat dan cara hidup serta aspek niat dan kecenderungan seseorang atau masyarakat dalam melakukan sesuatu aktiviti. Menurut pandangan ahli falsafah pula, etika merujuk kepada pengajian moral yang tertumpu kepada nilai dan kelakuan manusia.

Terdapat enam isu-isu yang berkaitan dengan etika guru juga perlulah diambil kira untuk mewujudkan seorang guru yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Keenam-enam isu etika guru tersebut adalah kesantunan guru, kepedulian guru, penampilan guru, berniaga di sekolah, mengurus masa, dan mengurus kewangan. Isu- isu etika ini telah ditunjukkan dalam bentuk grafik seperti yang terdapat di bawah ini.



Rajah 1: Isu-isu Etika Guru

            Artikel yang dikaji ini mengutarakan masalah bahawa guru-guru yang menyertai bidang politik ini tidak dapat memberikan komitmen kepada kedua-dua bidang yang diceburi olehnya iaitu bidang keguruan dan politik yang memberangsangkan. Menurut artikel yang dikaji, ia memberikan persoalan kepada kita mampukah seseorang guru itu untuk menguruskan atau mengimbangi masanya dengan baik antara politik dan bidang keguruan. Oleh itu, saya menggunakan isu etika keguruan yang terdiri daripada 6 aspek untuk menganalisis artikel ini. Setelah membuat beberapa buah analisis saya telah mengenalpasti sebuah isu etika keguruan yang amat berkait dalam artikel yang telah saya kaji iaitu “saranan berpolitik mampukah guru imbang masa” iaitu pengurusan masa.
            Pengurusan masa bermaksud anda mampu untuk menguruskan masa secara berkesan bagi melakukan aktiviti harian dan merasa puas hati dengan apa yang telah anda lakukan. Pengurusan masa yang berkesan merupakan ciri-ciri penting di dalam gaya gidup yang sihat. Menguruskan masa melibatkan penggunaan peralatan dan kaedah atau teknik untuk merancang dan menjadualkan masa yang sesuai dan tepat. Peralatan dan teknik tersebut bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan masa anda. Pengurusan masa adalah amat penting bagi membantu guru mengurus dan mengendalikan masa dengan bijak dan bertanggungjawab ketika berada di sekolah mahupun berpolitik. Pengurusan masa tidak hanya merujuk kepada teknik menguruskan kerja harian malah ia merangkumi bagaimana kita menggunakan masa kita secara berkualiti. Jadual harian mungkin hanya sebahagian kecil daripada teknik pengurusan masa sahaja. Secara ringkas, teknik pengurusan masa merujuk kepada cara menguruskan masa agar anda dapat mencapai matlamat anda. Dengan teknik pengurusan masa yang berkesan, seseorang guru akan dapat melakukan banyak perkara dalam masa yang singkat sahaja. Pengurusan masa yang efektif  ini membantu golongan pendidik ini untuk memberikan sumbangan di sekolah dan juga ketika berpolitik.
            Kebanyakkan guru pada hari ini merungut mereka terlalu sibuk hingga tidak dapat menumpukan perhatian kepada pengajaran di dalam kelas apatah lagi apabila mereka menyertai bidang politik. Adakah ini kerana mereka benar-benar sibuk melaksanakan tanggungjawab sebagai guru dan ahli politik atau kerana mereka tidak dapat menguruskan masa mereka dengan baik? Kemahiran pengurusan masa adalah amat penting kepada setiap insan. Hal ini adalah kerana, tanpa pengurusan masa yang baik guru mungkin akan menghabiskan banyak masa dengan melakukan aktiviti yang menghalang mereka daripada mencapai matlamat. Tanpa kemahiran pengurusan masa memungkinkan guru tidak akan dapat menyelesaikan sesuatu pekerjaan dengan baik. Contohnya, tanpa pengurusan masa yang baik golongan guru ini tidak dapat memberikan keutamaan atau perhatian dalam kedua-dua bidang yang disertai olehnya iaitu bidang keguruan dan juga politik. Secara rasionalnya, masa bukanlah sesuatu masalah yang memerlukan kepada suatu pengurusan, yang paling penting adalah bagaimana seseorang individu tersebut mengendalikannya. Masa juga dirujuk sebagai semua tindakan yang dipatuhi oleh individu bagi memastikan mereka menggunakan masa dengan baiknya. Menurut Stephen Covey (1989) dalam bukunya “The Seven Habits of Highly Effective People”, menyatakan bahawa konsep masa mestilah dilihat secara menyeluruh dalam seluruh aspek yang membabitkan kehidupan manusia. Manusia mempunyai empat dimensi iaitu fizikal, mental, sosial/mental, dan spiritual. Kesemuanya perlu difahami dan dipraktiskan agar mendapat penyatuan yang serasi.
            Semua masalah yang dinyatakan di atas tadi boleh diuruskan dengan baik jika setiap guru tahu untuk membezakan mana aktiviti yang harus diutamakan dan mana pula yang harus dikemudiankan. Rajah di bawah ini menunjukkan matriks contoh pengurusan masa yang berkesan yang boleh diamalkan oleh seseorang dalam melaksanakan aktiviti hariannya.


SEGERA
TIDAK SEGERA
PENTING
·         Solat
·         Laporan Panitia
 (Hantar esok)
·         Menghadiri mesyuarat parti politik
·         Laporan Minit Mesyuarat
·         Sediakan set ulangkaji
·         Berjumpa dengan masyarakat setempat
TIDAK PENTING
·         Urusan lawatan
·         Perancangan Jangka Panjang
·         Menonton Televisyen
·         Memancing
Jadual 1 : Matriks Penggunaan Masa
            Matriks di atas menunjukkan pengagihan contoh perkara-perkara yang perlu didahulukan serta perkara-perkara yang boleh dilakukan kemudian. Seseorang guru atau golongan pendidik yang menyertai politik perlulah mengaplikasikan penggunaan matriks ini dalam kehidupan seharian mereka, supaya mereka dapat mengimbangi masa 24 jamnya dengan baik serta memberikan sumbangan yang baik dalam kedua-dua bidang ini. Kedua-dua bidang ini memerlukan pengorbanan masa oleh seseorang guru. Contohnya, dalam matriks ini guru telah menganalisis perkara-perkara yang perlu dilaksanakan olehnya dalam kadar segera serta tidak segera. Selain itu, matriks ini mempunyai dua bahagian iaitu untuk mencatatkan perkara-perkara penting serta tidak penting. Maka, warga pendidik ini bolehlah melakukan perkara-perkara yang penting dan perkara yang perlu dilaksanakan dengan kadar segera terlebih dahulu. Senario ini menyebabkan guru dapat mengurus serta mengunakan masanya dengan efektif serta berkesan.
Masa amat penting untuk semua makhluk di dunia ini. Bagi umat Islam, di dalam Al-Quran banyak ayat yang menyentuh tentang pentingnya mengurus masa. Salah satu ayat Al-Quran yang menyentuh kepentingan masa adalah seperti yang diberikan maksudnya yang berikut: “Demi masa. Sesungguhnya masa itu berada di dalam kerugian. Kecauli mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran”. Masa yang terbuang begitu sahaja tidak dapat diganti dengan wang ringgit mahupun dengan berlian yang termahal sekalipun. Terdapat sebuah pepatah yang mengatakan “masa itu emas” dan kita khususnya golongan pendidik perlulah menggunakan masa ini dengan cekap supaya mereka dapat berbakti dalam bidang keguruan dan juga dalam bidang politik.
Rajah di bawah ini menunjukkan bagaimana seseorang guru boleh merancang agar segala tugasan dapat disiapkan mengikut perancangan  dan jangka masa yang diperuntukkan. Rajah di bawah ini terdiri daripada empat bahagian iaitu Act, Plan, Check, dan juga Do. Keempat-empat bahagian ini saling berkait antara satu sama lain.  Golongan pendidik juga bolehlah menggunakan rajah di bawah ini ketika merancang aktiviti yang melibatkan bidang pendidikan dan juga politik.
Rajah 2 : Konsep Perancangan Tugasan
Berdasarkan Rajah 2 diatas, seseorang guru perlulah merancang pelaksanaan tugasan. Ini bermaksud bahawa setiap guru perlulah menentukan masa untuk membuat perancangan pengajaran, masa aktiviti bersama keluarga, masa untuk berpolitik dan aktiviti sampingan yang lain. Seterusnya pada peringkat Do iaitu Buat dan Bergerak. Guru juga perlulah mempraktikkan segala perancangan dan jadual yang telah mereka buat. Contohnya, seseorang guru telah merancang bahawa dia ingin memberikan kelas tambahan kepada anak muridnya sebelum berjumpa dengan penduduk kampung, perlulah melaksanakan tindakannya. Mereka juga tidak bolehlah membiarkan perkara-perkara yang dirancang menjadi tergendala begitu sahaja. Pada peringkat Act pula memerlukan guru bertindak dan bekerja mengikut jadual. Setiap guru perlulah belajar untuk mendisplinkan diri berdasarkan jadual yang telah dirancangkan tersebut. Setelah selesai segala pelaksanaan tugasan yang berkenaan, guru perlulah check atau periksa semula setiap aktiviti yang dijalankan. Post Mortem ini akan membolehkan guru mengesan sejauh mana sesuatu tugasan dapat dilaksanakan dalam jangka masa yang ditetapkan. Keadaan ini secara tidak langsung akan memberikan kesan yang positif dalam penglibatan seseorang guru dalam bidang-bidang yang diceburi olehnya. Guru itu juga dapat memberikan sumbangannya dengan ikhlas dan berkesan dalam bidang keguruan dan juga politik.
            Di samping itu, setiap guru perlulah menggunakan Rancangan Bertindak pada masa yang sesuai seperti yang dirancangkan. Rancangan Bertindak dikaitkan dengan susunan tugasan dan akauntabiliti yang perlu dilakukan oleh seseorang individu dalam sesebuah hari mengikut keutamaan. Sebagai contoh, guru perlulah mencatatkan perkara-perkara yang MESTI dilakukan di dalam Rancangan Bertindak tersebut. Perkara-perkara MESTI dilakukan bermaksud perkara-perkara yang MAHU dilakukan. Kemudian, cuba habiskan perkara yang ingin mereka lakukan mengikut keutamaan. Jika mereka tidak sempat untuk menghabiskan kerja mereka untuk hari tersebut, catatkan aktiviti yang belum dijalankan pada kertas baru pada keesokkan harinya. Ulang perkara yang sama apabila, mereka hendak memulakan kerja pada hari keesokkannya. Kaadaan ini semua memerlukan pengurusan masa yang efektif.
            Berdasarkan kepada Rajah 3, setiap guru harus menghapuskan tabiat tangguh dan tunggu dengan mengingati 3 perkara iaitu kelmarin sudah berlalu, esok masih belum berlaku, dan hari ini peluang masih ada. Oleh yang sedemikian, guru perlulah menggunakan peluang yang ada supaya masa yang ada itu tidak berlalu begitu sahaja. Seseorang guru juga harus mengetahui kepentingan pengurusan masa. Apabila seseorang guru gagal untuk menguruskan masa dengan bijak, mereka mungkin akan membazirkan banyak masa yang berfaedah, menjadi tidak produktif, mendapat tekanan (stress), menjadi cemas dan bimbang, bertambah gusar dan mudah marah serta gagal untuk menyiapkan kerja dalam masa yang ditetapkan. Seandainya, seseorang guru dapat menguruskan masa mereka dengan berkesan, maka dia juga akan dapat menyelesaikan segala tugasan dalam jangka masa yang telah dirancang. Keadaan ini akan menjadikan mereka sebagai seorang guru yang lebih terurus, produktif, kurang tertekan, beroleh kegembiraan, serta mempunyai banyak masa untuk melakukan aktiviti yang lebih bermakna dalam kehidupan. Selain itu, pengurusan masa ini juga membantu guru-guru untuk meluangkan lebih banyak masa berharga mereka kepada rakyat apabila mereka telah menyertai politik.
            Displin yang tinggi dan ketat sangat diperlukan bagi memastikan kelancaran kepada pengurusan masa untuk melaksanakan apa yang dirancang. Setiap guru perlu menyediakan jadual harian kerana melalui cara ini, seseorang guru akan dapat mengatur aktiviti yang sesuai dengan tahap kecergasan tubuh badan mereka. Fenomena ini adalah penting kerana tahap kecergasan setiap orang adalah tidak sama dan berubah mengikut situasi. Hal ini kerana setiap individu di dunia ini mempunayai keupayaan mental dan fizikal yang berlainan. Rajah di bawah ini menunjukkan tahap kecergasan individu yang perlu diberikan perhatian oleh setiap guru.
Rajah 3 : Tahap Kecergasan Tubuh dan Minda
Merujuk kepada rajah di atas, guru yang mengetahui dan memahami setiap tahap kecerdasan tubuh dan minda akan dapat melaksanakan aktiviti mengikut jadual dan dapat mengikuti pengurusan masa yang telah ditetapkan. Masa rehat juga perlu dpertimbangkan. Manusia perlulah berehat dalam setiap perkara. Rehat adalah faktor yang penting dan sering dikaitkan dengan tidur. Contohnya, kita perlu berehat selama 15 minit pada waktu tengah hari untuk mengembalikan kecergasan kita. Justeru itu, pengurusan waktu rehat dan tidur adalah penting untuk pembelajaran yang berkesan dan dapat menghasilkan mutu kerja yang berkualiti. Setiap orang yang berjaya menpunyai sistem jadual yang sendiri. Kebanyakkan guru dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang kerana mereka mematuhi pengurusan masa yang telah dirancang. Situasi atau perkara yang sama juga perlulah diaplikasikan oleh guru-guru yang giat berpolitik ini. Mereka perlulah merancang sebuah jadual waktu yang membolehkan mereka untuk berkhidmat kepada anak muridnya serta masyarakat mengikut tahap keupayaannya. Orang lain tidak dapat membuatkan jadual waktu kepada mereka kerana hanya mereka sahaja yang mengenali diri mereka sepenuhnya secara betul dan cekap. Keberkesanan jadual waktu yang dibuat oleh tuan punya badan adalah lebih baik berbanding jadual waktu yang dibuatkan oleh orang lain. Keadaan ini dapat mewujudkan pengurusan masa yang efektif dan cekap.
Pengurusan masa yang berkesan juga akan mewujudkan jadual kepada seseorang. Jadual untuk seseorang itu akan wujud secara tidak langsung walaupun ia tidak bertulis dan dirancang di atas kertas tetapi ia wujud dengan sendiri kerana berlakunya proses pengulangan ruti-rutin harian seseorang. “Oleh itu, jadual telah wujud dengan sendiri. Jadi untuk menjadi lebih berjaya, kita perlulah menguruskan masa dengan baik dan mempunyai jadual untuk menguruskan aktiviti-aktiviti dalam kehidupan seharian. Pengurusan masa ini perlulah dipatuhi dan diikuti supaya matlamat yang ingin dicapai akan tercapai dengan lebih cepat dan merancang. Pengurusan masa memerlukan guru mengamalkan Prinsip Asas Pengurusan Masa supaya ia dapat memberikan kesan yang maksimum kepada sikap guru yang berkenaan. Berikut ialah antara kesan pengurusan masa kepada seseorang guru.
i)             Mengubah tabiat lama yang negatif
Tabiat lama yang selalu dilakukan juga disebut habit. Tabit negatif ini perlu dibuang dalam diri setiap individu. Jika selama ini, seseorang guru itu merupakan seorang individu yang selalu menagguhkan kerja atau tugasan yang diberikan kepadanya. Maka guru tersebut perlulah mengambil perhatian terhadap perkara ini dan mengubah sikap negatifnya ini. Oleh itu, golongan pendidik ini haruslah mengubah tabiat ini supaya mereka lebih awal dapat menyiapkan tugasan yang diberikan agar pada waktu yang lain mereka dapat memberikan tumpuan yang lebih kepada aktiviti yang lain. Keadaan ini akan menyebabkan golongan pendidik ini mempunyai masa berkualiti untuk melakukan pelbagai perkara lain dalam bidang atau profesion keguruan atau politik ini. Selain itu, ia juga menyebabkan pendidik ini akan menjadi guru yang lebih efisen kerana dapat menyiapkan segala tugasan dalam jangka masa yang lebih awal berbanding dengan guru lain. Selain itu, golongan ini juga dapat memberikan perhatian kepada bidang politik yang diceburi olehnya.

ii)            Komunikasi
Komunikasi dapat memberikan implikasi yang besar jika kita tidak dapat menggunakan dengan berkesan dan terbaik. Contohnya, semasa seseorang guru itu berada di dalam bilik guru dan sering berbual-bual kosong dengan rakan-rakan guru yang lain tentang hiburan dan perkara sia-sia yang tiada kaitan langsung dengan kehidupan seharian. Senario ini adalah satu bentuk pembaziran yang amat ketara dan merugikan setiap individu. Jika ini yang golongan pendidik yang menyertai politik amalkan sudah pasti masanya akan terbuang begitu sahaja tanpa berkhidmat kepada murid-murid dan juga dalam politik.  Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa golongan guru ini tidak bijak untuk menguruskan masa dengan melakukan aktiviti yang berfaedah. Sudah pasti, seseorang guru ini tidak akan menpunyai masa yang mencukupi untuk mencurahkan baktinya di sekolah dan juga arena politik. Keadaan ini secara tidak langsung akan menjejaskan nama baiknya serta masa depan anak murid yang bergantungnya.

Islam turut menyeru penganutnya untuk menguruskan masa dengan baik. Selain itu, Islam juga menggesa supaya masa digunakan dengan baik dan sentiasa diawasi kerana dalam setiap masa ada kelebihannya yang tersendiri. Setiap individu hendaklah memperuntukkan masa seperti yang berikut :
a)    Masa beribadat kepada Allah – sembayang, puasa, zakat, haji dan lain-lain
b)    masa bekerja – mengikut bidang pekerjaan masing-masing dan tidak bercanggah dengan syariat Islam
c)    masa untuk menambahkan intelektual – melalui pembelajaran formal atau tidak iaitu pembacaan, pendengaran, perbincangan, menghadiri majlis ilmu
d)    masa bekeluarga – mencapai  kebahagian bergantung kepada kebijaksanaan menguruskan masa
e)    masa bermasyarakat dan bersosial – gotong – royong, bersukan, berpersatuan, kerja amal dan sebagainya
f)     masa berehat – memulihkan tenaga dan fikiran bagi meneruskan kehidupan

Kenyataan di atas, menunjukkan kepada kita bahawa pengurusan masa yang baik oleh seseorang guru apabila menyertai politik menyebabkan dirinya dapat meluangkan masanya 24jam sehari untuk melakukan pelbagai perkara. Masa 24jam tersebut juga bolehlah digunakan bukan sahaja untuk mengajar dan menyertai politik sahaja malah ia boleh digunakan untuk mendekati diri kita kepada Tuhan Yang Maha Esa, keluarga, masyarakat dan sebagainya.

Apabila sudah diketahui berapa banyakkah masa yang digunakan dalam sehari maka jelaslah kepada kita bahawa banyak masa yang harus kita gunakan atau peruntukkan untuk membuat kerja-kerja seharian kita. Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dapat disimpulkan bahawa pengurusan masa yang baik adalah penggunaan masa yang berkualiti. Kualiti masa dapat dicapai dengan adanya prinsip asas bagi kita untuk menguruskan masa. Justeru itu, ia akan menjadikan kehidupan kita menjadi lebih berkesan dan bermakna. Terdapat banyak bekas guru yang telah berjaya dalam bidang politik ini seperti Tun Ghafar Baba, Allahyarham Tan Seri Megat Junib Megat Ayub, Allahyarham Datuk Razali Ismail, dan banyak lagi.Golongan ini telah terlibat dalam bidang pendidikan sebelum menyertai politik. Mereka juga telah berjaya dalam hidup mereka dengan menjadi guru serta pemimpin yang berjaya. Kalau pemimpin-peminpin ini boleh melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan jayanya sudah pasti kita juga dapat mencontohi mereka. Oleh itu, seseorang guru yang mengajar di sekolah bolehlah menyertai politik dengan pengurusan masa yang bersistematik.